Ahad, 17 Januari 2016

Terserah, jika mahu teruskan demonstrasi bantah TPP

Mustapa Mohamed
Mustapa Mohamed


KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyifatkan pihaknya telah menjalankan tugas dengan memberi penerangan sebaiknya kepada seluruh rakyat termasuk ahli-ahli Parlimen pembangkang berhubung perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Menterinya,  Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya tiada halangan jika mana-mana pihak mahu mengadakan bantahan terhadap TPP, Sabtu ini.

"Kita negara demokrasi jadi terserah pada merekalah. Ada undang-undang. Kalau ikut peraturan, dia boleh buat demonstrasi.

"Tapi kita rasa tak ada asaslah nak demonstrasi kerana kita mengamalkan sikap terbuka." katanya ketika ditemui media selepas memberi taklimat berkaitan TPP, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal bantahan terhadap TPP yang akan diadakan hujung minggu depan di ibu kota.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas bantah TPP di Sidang Khas Parlimen nanti]

Mengulas lanjut, Mustapa berkata beliau menyerahkan keputusan kepada rakyat untuk diturunkan kepada wakil-wakil rakyat masing-masing yang bakal mengundi di Parlimen.

"Kita pulangkan kepada rakyat. Jadi, cara kita di Malaysia adalah kita pergi ke Parlimen. Ahli Parlimen akan buat keputusan.

"Kita tak tahu (mereka) nak bantah ataupun tidak. Daripada apa yang kita baca, pembangkang masih nak bantah. Itu hak mereka tapi kita sudah buat yang terbaik," katanya.

Sebelum itu, beliau menjelaskan bahawa pihaknya telah menjalankan satu bengkel yang turut dihadiri ahli-ahli Parlimen pembangkang, termasuk Ketuanya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya ucapkan terima kasih kerana pembangkang hadir termasuk ketua pembangkang. DAP pun hadir.

"Tidak pernah lagi berlaku, (majlis Miti) tokoh-tokoh besar pembangkang hadir," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat negara ini turut menunjukkan sikap terbuka seperti yang dipamerkan ahli-ahli Parlimen pembangkang serta melihat TPP sebagai perkara yang akan memberi kesan positif pada jangka masa panjang.

Tiada ulasan: