Sabtu, 16 Januari 2016

Polis perlu atasi kegemukan dan henti ‘buru’ pembangkang

eddie ng

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR : Polis perlu bekerja keras mengurangkan kadar jenayah yang semakin
menjadi-jadi kebelakangan ini, bukannya ‘memburu’ ahli politik pembangkang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Balakong, Eddie Ng Tien Chee kesal berikutan bilangan anggota pegawai polis bertugas menyiasat jenayah terlalu sedikit dan mengakibatkan rakyat berasa tidak selamat.

“Lebih kurang 10 peratus saja polis membantu masyarakat manakala tujuh peratus daripadanya terdiri daripada anggota cawangan khas yang selalu mengintip ahli politik pembangkang.

“Yang lain mana..? Kita faham ada banyak jabatan lagi tapi 10 peratus mana cukup,” kata Setiausaha Organisasi DAP Selangor itu pada kenyataan media, hari ini.

Kebelakangan ini, pelbagai kes jenayah berleluasa antaranya kejadian penculikan, ragut, rogol, pecah masuk rumah dan rompakan bersenjata terutama di kawasan perumahan, malah ada melibatkan kematian.

Ia mengakibatkan masyarakat Malaysia hidup dalam ketakutan dan tidak bergantung harap kepada pihak berkuasa lantaran nilai kepercayaan terhadap polis, semakin menipis.

Justeru itu, Eddie berkata polis perlu rombakan menyeluruh supaya lebih ramai anggota polis dikerah membanteras jenayah sekaligus menanam rasa selamat dalam kalangan rakyat.

Pada 2014, hasil kajian Frost dan Sullivan menunjukkan hanya 10 peratus rakyat Malaysia percaya kadar jenayah menurun dan hanya 29 peratus berasa selamat tinggal di negara ini.

Selain itu, beliau berkata, polis juga perlu mengatasi masalah kegemukan anggota bagi memastikan tugasan membanteras jenayah dilakukan dengan baik, malah mengalu-alukan cadangan mereka yang gagal mengatasinya, tidak naik pangkat.

“Saya gembira kerana sekurang-kurangnya Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tahu masalah dalaman polis walaupun lambat. Hanya caranya kurang tepat.

“Apa kata jika anggota polis yang gagal menurunkan berat badan diturunkan pangkat?” katanya lantaran berasa ‘kelakar’ kerana Khalid menyatakan cadangan berkaitan pangkat itu turut membabitkan dirinya, sedangkan beliau sudah berada di hieraki tertinggi polis. -Roketkini.com


Tiada ulasan: