KUALA LUMPUR,  Dianggarkan seramai 1.6 juta penjawat awam dan sejuta pesara kerajaan akan menerima bonus masing-masing sebanyak RM500 dan RM250, esok.

Pemberian tersebut juga turut diterima pegawai lantikan sementara, perkhidmatan dalam kontrak, guru interim dan pegawai sambilan harian (PSH), namun ia tertakluk kepada syarat.

Pemberian itu bukan sahaja membabitkan pegawai awam lantikan tetap, malah kakitangan kontrak berdasarkan pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini.

Pada 23 Oktober lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian tersebut membabitkan peruntukan RM645 juta ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, hampir 50,000 pesara yang mempunyai 25 tahun perkhidmatan akan menikmati pencen minimum tetap sebanyak RM950 sebulan.

Pegawai kontrak, yang dianggarkan seramai 10,000 orang, di mana telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun akan diserap ke dalam perkhidmatan tetap.

Bagi kakitangan yang meninggal dunia antara 1 Januari hingga 31 Disember 2015, mereka turut layak menerima pemberian RM500 tertakluk kepada beberapa syarat termasuk sudah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari