Isnin, 4 Januari 2016

Peniaga Mara Digital raih jualan RM80,000

 
Peniaga yakin pusat sehenti produk IT dan komunikasi itu akan lebih mendapat sambutan kerana produk yang ditawarkan lebih murah dan dijamin tulen


mara-digital-80000


KUALA LUMPUR : Baru sebulan dibuka, ternyata Mara Digital Mall mendapat sambutan luar biasa apabila peniaga peralatan produk telekomunikasi dan komputer meraih jualan melebihi sasaran.

Penyelia GreenFone, Muhammad Azmer Abdul Rahman, berkata syarikatnya memperoleh jualan RM80,000 jauh lebih tinggi berbandng sasaran awal sekitar RM40,000 sebulan.

Azmer berkata, kejayaan meraih jualan melebihi sasaran itu kerana produk yang ditawarkan lebih murah berbanding di tempat lain.

“Banyak pelanggan mencari model Asus dan Lenovo dan disebabkan itu, kita menumpukan kepada dua ‘brand’ ini,” katanya ketika ditemui pada Isnin.”

Jurujual Forte Solution Sdn Bhd, Mohd Naim bin Md Kawil pula berkata, Mara Digital Mall juga berjaya menarik pelanggan dalam kalangan bukan Bumiputera dan pelancong asing.

“Mereka bercadang nak datang ke Low Yatt tapi bila tengok Mara Digital Mall telah dibuka mereka datang sini,” katanya.

Pusat sehenti penjualan gajet dan alat telekomunikasi Mara Digital yang diusahakan peniaga Melayu dan Bumiputera dibuka kepada orang ramai pada 8 Disember tahun lalu.

Pusat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang terletak di Menara Mara itu memberi satu lagi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan lebih murah dan dijamin ketulenannya di bawah satu bumbung.

Tiada ulasan: