Jumaat, 22 Januari 2016

Penganut Hindu yakin Batu Caves selamat ketika perayaan Thaipusam

 Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic
 
 
BATU CAVES: Walaupun terdapat desas-desus ancaman keganasan menjelang perayaan Thaipusam di Batu Caves, orang ramai yakin dengan langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan polis bagi membendung kejadian tidak diingini.
 
Berbanding sebelum ini, kehadiran anggota polis di sekitar kawasan itu juga lebih banyak sejak kawalan keselamatan mula digerakkan mulai hari ini sehingga 26 Januari.
 
Pembabitan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga menambahkan keyakinan lagi para pengunjung dan orang ramai terhadap keselamatan di kawasan Batu Caves.
 
Begitulah luahan perasaan orang ramai yang ditemui Antarapos ketika meninjau Batu Caves hari ini.
 
Seorang pengunjung yang juga pekerja swasta, Subramaniam, 40, berkata dia percaya tidak akan berlaku sebarang perkara tidak diingini menjelang sambutan Thaipusam kerana keadaan keselamatan yang sangat baik.
 
"Tidak ada apa-apa, itu perkara biasa. Pengawalan keselamatan dalam keadaan sekarang sangat baik," katanya.
 
Shankar, 37, yang juga berpendapat begitu, yakin dengan tahap keselamatan ditunjukkan oleh pihak berkuasa.
 
"Ini Malaysia, saya rasa kita tak perlu takut, polis sudah buat kawalan dengan baik," ujarnya.
 
Sementara itu, Rajenthiran, 40 menyokong segala usaha yang ditunjukkan oleh pihak keselamatan bagi memastikan sambutan perayaan Thaipusam berlangsung dengan lancar.
 
"Sini selamat, tidak ada masalah apapun. Dengan pihak keselamatan ada di sini mesti selamat. Saya sokong polis," katanya.
 
Dalam pada itu, ada juga pengunjung yang mengambil sikap berjaga-jaga walaupun polis dan tentera bekerjasama di dalam membuat rondaan sepanjang masa di Batu Caves.
 
"Lima puluh tahun saya datang ke sini untuk sembahyang kat sini tapi tahun ini kita rasa kesal sikit sebab mungkin kita anggap itu sebagai khabar angin tapi mungkin ada juga peratus khabar itu mungkin jadi benar.
 
"Saya rasa anggota polis terlalu banyak tapi saya tetap bimbang sedikit dan ini tidak mencukupi dan sepatutnya kita kena ada angkatan tentera yang pakar. Sebelum perayaan mereka perlu buat siasatan yang bagus dan baru kita rasa selamat sikit tapi sekarang memang penganut agama Hindu terasa ketakutan," ujarnya

Tiada ulasan: