Rabu, 13 Januari 2016

Najib: Ling cemar imej, reputasi saya

Hafiz Yatim





Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bekas presiden MCA Datuk Seri Dr Ling Liong Sik tidak bertindak jujur (bona fide) sebagai selaku "negarawan yang dihormati".

Dalam jawapannya kepada pihak pembelaan mewakili Ling dan tuntutan balas terhadap saman fitnah, Najib berkata Ling telah bertindak secara melulu dan dengan mala fide (niat jahat) untuk mencemarkan imej dan nama baiknya.

Perdana Menteri berkata tidak ada keperluan untuk Ling mengucapkan perkataan-perkataan fitnah tanpa terlebih dahulu merujuk kepadanya.

Najib juga mempertahankan haknya untuk menyaman Ling.

"Sebagai rakyat Malaysia, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ahli Parlimen dan pemimpin masyarakat, saya mempunyai hak untuk mempertahankan maruah dan reputasi saya dengan memulakan suatu tindakan terhadap pemfitnah, sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang. Ini termasuk hak untuk menyaman defendan (Ling).

"Tidak ada peruntukan undang-undang yang menafikan hak saya untuk mengambil tindakan kerana fitnah ... defendan mempunyai hak untuk mengkritik tetapi apabila ia melampaui batas undang-undang dan mula menjejaskan imej dan reputasi saya, ucapan beliau membawa kepada akibat undang-undang ini," katanya.

Peguam Najib memfailkan jawapan kepada pembelaan Ling semalam.



Tiada ulasan: