Sabtu, 2 Januari 2016

Kerajaan Persekutuan digesa gantung aktiviti bauksit

 
Ini kerana Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan kerajaan negeri tidak mempunyai kesungguhan dan kekuatan politik untuk melaksanakan keputusan kabinet itu.


fuziah-salleh


PETALING JAYA: Kerajaan dan agensi persekutuan digesa mengambil alih tugas menggantung segala aktiviti melibatkan industri bauksit di Kuantan.

Ini kerana Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob tidak mempunyai kesungguhan dan kekuatan politik untuk melaksanakan keputusan kabinet untuk berbuat demikian.

Itu kata Pengerusi Gabungan Badan Bertindak Menentang Pencemaran Bauksit, Fuziah Salleh yang juga merasakan tidak wajar bagi penduduk Kuantan terus terseksa dalam ‘neraka dunia’ semata-mata kelemahan kepimpinan Adnan Yaakob.

“Sebelum keadaan menjadi bertambah parah, saya seru Kerajaan Persekutuan mengambil alih usaha penggantungan ini. Tambahan pula Perdana Menteri ialah berasal dari Pahang. Saya seru bertindak segera.

“Keadaan di Kuantan kini terlalu mencemaskan dan melibatkan 700,000 warga Kuantan yang terdedah kepada risiko kesihatan yang amat tinggi,” katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Fuziah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuantan berkata, ikan-ikan dan kehidupan di sungai kawasan berkenaan telah tercemar serta merbahaya untuk dimakan.

“Malah air sungai di beberapa sungai di Kuantan merbahaya untuk di sentuh akibat kehadiran logam-logam berat.

“Udara pula merupakan udara yang bukan sahaja berdebu dengan IPU – Indeks Pencemaran Udara yang tinggi di kawasan terbabit malah udara juga bertoksid dan bahaya buat kesihatan,” katanya.

Tambahnya lagi, jalan raya juga tidak selamat dengan kehadiran lori-lori yang mengangkut bauksit, tidak menghormati dan patuh kepada peraturan.

“Industri dan ekonomi tempatan terjejas teruk akibat pencemaran disebabkan industri bauksit. Hakisan tanah dan tanah runtuh juga risiko amat tinggi yang kita hadapi apabila bukit-bukit dikorek dengan rakus .

“Akan tetapi risiko yang paling tinggi ialah apabila Kerajaan Negeri Pahang tidak mampu untuk memberhentikan aktiviti melombong, mencuci bauksit, mengorek dan mengangkut bauksit yang haram serta juga tidak dapat mengawal himpunan stockpile bagi yang berlesen,” ujarnya.

Beliau juga menjelaskan, keadaan menjadi lebih parah lagi apabila kawasan hulu tadahan air minuman di kawasan berkenaan dibiarkan dengan aktiviti-aktiviti yang mencemarkan sumber air minuman.

Tiada ulasan: