Sabtu, 16 Januari 2016

“Jangan memandai naikkan harga lepas pengubahsuaian Bajet”

FREE MALAYSIA TODAY

Hamzah beri amaran kepada peniaga supaya tidak ambil kesempatan selepas semakan Bajet 2016


Hamzah-Zainudin_bajet_price_600


LARUT: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga barang berikutan pengubahsuaian Bajet 2016 akhir bulan ini.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan semua penguatkuasa untuk mempertingkatkan pemeriksaan dan pemantauan di seluruh negara bagi mengelak tindakan mengaut keuntungan secara berlebihan oleh peniaga.

“Saya tidak mahu ada peniaga ambil kesempatan terutama menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. Kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Masyarakat Maktab Koperasi Malaysia (MKM), di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 Jan lepas mengumumkan kerajaan akan membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 dengan mengambil kira senario ekonomi semasa untuk lebih realistik dalam keadaan yang mencabar.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pengubahsuaian Bajet 2016 itu antara lain akan melibatkan langkah-langkah tambahan penegasan baharu mengoptimumkan perbelanjaan, peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan meneruskan perjuangan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Mengulas lanjut mengenai pengubahsuaian bajet itu, Hamzah menyarankan rakyat supaya turut menyesuaikan gaya hidup dengan keadaan ekonomi semasa termasuk mengoptimumkan perbelanjaan.

Beliau mengambil contoh masyarakat luar bandar yang sentiasa mengamalkan gaya hidup sederhana sehingga mereka tidak terlalu terjejas dengan kelembapan ekonomi global ketika ini.

“Projek yang tidak menjadi keutamaan boleh ditangguhkan. Apa pun yang kita buat jangan sampai rakyat tertekan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang mengatakan kerajaan akan menaikkan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berikutan pengubahsuaian bajet itu, Hamzah berkata, ia merupakan satu tindakan untuk mengelirukan rakyat.

“(Saya) sebagai anggota Kabinet, kita tidak pernah bincang perkara ini dalam mesyuarat Kabinet dan saya tegaskan kerajaan tidak mungkin menyusahkan rakyat.

“Sebaliknya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan rakyat tidak tertekan walaupun keuntungan yang diperoleh kerajaan berkurangan,” katanya.

Program khidmat masyarakat selama tiga hari itu yang bermula semalam merupakan usaha untuk memperkenal dan mendekatkan MKM kepada masyarakat setempat di samping memupuk semangat kekitaan serta mengeratkan silaturrahim antara masyarakat.– BERNAMA

Tiada ulasan: