Tidak ada siapa yang harus dipersalahkan kecuali Orang Islam sendiri. Dan yang patut bertanggung jawab ialah para Mufti.
Apa yang berlaku di Iraq memang memeranjatkan kita. Tapi lebih mencemaskan bila perkara yang serupa berlaku di Jakarta, Indonesia dua hari yang lalu. Tidak pernah terfikir anak-anak kita, samada Malaysia mahupun Indonesia sampai mampu dan tergamak menjadi ‘Suicide Bomber’ bagi satu misi yang bagi kita tidak masuk akal, tapi pasti berlainan di benak mereka.
Apa sebenarnya yang berlaku? Apa yang mempengaruhi fikiran dan hati nurani sehingga mereka nekad menjadi ‘Suicide Bomber’ dan sanggup mengorbankan diri mereka sendiri. Yang lebih menakutkan gejala tersebut boleh masuk ke rumah kita dan boleh meresap ke dalam diri dan fikiran anak-anak dan adik beradik kita pada bila-bila masa tanpa kita sedari.
Apa yang dilakukan oleh Polis Malaysia dan perisiknya hanyalah elemen yang membahayakan keselamatan negara. Ini hanya berlaku setelah kader ISIS itu telah terpengaruh, diindoktrinasikan dan dilatih malah telah bersedia untuk melancarkan misi mereka. Ini yang berlaku di Iraq, Indonesia dan Turki. ‘Suicide Bomber’ itu telah sebati dengan fahaman mereka, telah menebal dengan iltizam mereka dan telah 150% percaya untuk mendapatkan ‘balasan syurga’ dengan meletupkan diri mereka sendiri.
Belum lagi ada usaha untuk mengenali bibit-bibit permulaan dalam seseorang individu waima individu itu anak kita, adik-beradik kita atau jiran kita. Berdasarkan kepada wawancara dengan jiran “suicide Bomber’ rakyat Malaysia di Iraq, mereka merupakan anak yang baik dan peramah. Mereka bukan anak gelandangan dan bukan pula yang memencilkan diri yang tidak bercampur dengan orang lain.
Tidak juga ianya menggambarkan mereka dari keluarga bermasalah, mahupun menghadapi tekanan hidup dari segi ekonomi mahupun sosial dan tekanan rakan sebaya. Malah tidak pula kelihatan mereka terdiri dari golongan pelajar yang terkandas, orang yang baru kehilangan pekerjaan dan seumpamanya.
Jadi bagaimana kita dapat mengenali mereka? Bagaimana caranya kita boleh mengenal pasti tanda-tanda awal mereka mula berjinak dengan ISIS? Ini yang perlu dilakukan segera oleh agensi-agensi berkaitan seperti JAKIM, Jabatan Agama seluruh negeri dengan dibantu oleh NGO-NGO Islam seperti ABIM, Ikram, Isma dan sebagainya. Ini kerana semua yang terlibat adalah orang-orang dan anak muda Islam.
Barapa ramai antara kita yang ambil berat dengan laman internet yang dilawati anak-anak kita? Berapa ramai antara kita yang berbincang dengan adik beradik perihal ISIS dan keganasan mereka dan di masa yang sama menyelami apa yang mereka rasakan dan mungkin hayati? Berapa ramai antara kita yang prihatin dan mengambil tindakan awal yang cepat bila melihat foto profil anak dan adik beradik kita sedang memegang rifle dengan wajah celoreng waimma rifle itu rifle paintball sekali pun. Apakah mungkin ini indikator awal kecenderungan mereka kearah kerja dan tindakan militan dalam diri mereka?
Oleh kerana ini soal ideologi dan kefahaman, maka langkah pertama mestilah menguatkan mereka kepada ideologi dan kefahaman yang betul. Oleh kerana ini melibatkan ‘perjuangan Islam’ dan ‘balasan syurga’ maka kefahaman yang betul tentang Islam dan perjuangan menegakkan Islam mestilah dijelaskan dengan sejelas-jelasnya.
Ustaz dan guru serta pensyarah yang mengajar anak-anak ini mestilah
berkeupayaan menerangkan persoalan Islam yang sebenar dan kaedah serta
dakwah yang aman yang membangunkan bukan meruntuh dan merosakkan. Tidak
cukup hanya menerangkan di setiap khutbah Jumaat mengatakan tidak ada
ekstremisme dan militan dalam Islam. Tidak cukup di situ sahaja. Media
yang digunakan yang dekat dengan anak muda juga harus diketengahkan.
Anak-anak kita mestilah di tanamkan sifat kasih sayang sesama makhluk Tuhan selagi mereka tidak memerangi kita lebih-lebih lagi sesama Islam dan mereka yang cintakan keamanan. Dan kita semua terutama cerdik pandai Islam mestilah menjauhkan diri dari menanamkan sifat benci dan permusuhan sesama insan dan menggunakan perkataan yang menjijikkan yang meningkat kebencian dan permusuhan seperti Ultra Kiasu, Kafir Harbi, Barua dan Jebon.
Wajah Islam telah terlalu buruk dan menakutkan. Bukan sahaja kepada yang bukan muslim, tetapi muslim yang belum jinak dan faham akan keindahan Islam. Islam Rahmat Untuk Seluruh Alam yang cintakan keamanan, kedamaian dan progresif harus diketengahkan di semua peringkat kehidupan termasuk dakwah, politik dan pendidikan.
Tidak ada siapa yang harus dipersalahkan kecuali Orang Islam sendiri. Dan yang patut bertanggung jawab ialah para Mufti dan mereka yang berpengaruh dalam masyarakat yang tidak berkeupayaan berfikir ke depan untuk menangani gejala yang sangat bahaya ini.
Sudah tiba masanya, memerangi ISIS dan mengembalikan kefahaman dan penghayatan Islam yang betul menjadi agenda utama kita semua dan bukan hanya Polis Malaysia. Lebih-lebih lagi para Mufti dan Yang Berpengaruh dalam masyarakat. Semua harus melihat ke dalam, memantau pemikiran dan kefahaman anak-anak dan adik beradik kita supaya bibit awal pengaruh ISIS dapat dipatahkan dan dimatikan segera.
Sama-sama kita memikirkannya!
(*) Yunus Tasim merupakan pembaca FMT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan