KUALA LUMPUR,  Hati-hati sebelum memuat naik sebarang maklumat di media sosial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa buli siber.

Jika tidak, ada kemungkinan maklumat yang dimuat naik itu akan dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tinjauan The Rakyat Post terhadap pengguna-pengguna media sosial berpendapat pengguna harus lebih bijak menggunakan media sosial.

Bagi penuntut universiti swasta, Ezhen Chow, 21, berpendapat tindakan menyebarkan sesuatu maklumat tanpa kebenaran pemilik adalah salah kerana ia boleh mencetuskan pelbagai masalah yang tidak dijangka.

“Menyebarkan sesuatu maklumat tanpa mengetahui cerita sebenar boleh menyebabkan orang yang tidak bersalah kelihatan bersalah.

“Mungkin kebenaran akan diketahui juga di kemudian hari, tetapi jika anda sudah viralkan sesuatu yang tidak betul, bagaimana kebenaran akan muncul jika semua orang sudah mempunyai persepsi negatif,” katanya.

Tambahnya lagi, kini penggunaan media sosial dilihat lebih cenderung ke arah keburukan berbanding menyebarkan sesuatu untuk kebaikan bersama.

“Setakat ini, saya rasa tiada siapa kisahkan gambar-gambar viral yang disebarkan dengan niat yang baik, tetapi orang ramai lebih memberi perhatian kepada berita buruk yang disebarkan. Mereka akan ingat wajah kamu atau lebih teruk lagi mereka akan kenal nama kamu juga,” jelasnya.

Bagi Huzaifah Abdul Aziz, 23, sikap rakyat Malaysia yang gemar memperbesarkan hal remeh temeh ini merupakan faktor utama yang menyumbang kepada masalah penggunaan media sosial.

“Perkara ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, negara-negara luar lain turut mempunyai masalah yang sama, cuma bezanya di sini adalah sikap kita yang suka memperbesarkan perkara yang remeh-temeh.

“Ini juga menggambarkan cara pemikiran dan intelektual rakyat Malaysia yang masih jauh ketinggalan. Mereka hanya tahu mengecam perbuatan orang lain tanpa usul periksa terlebih dahulu,” katanya.

Pandangan itu juga turut disokong Fawwaz Farhan Wan Chik, 25, yang berasa platform sosial media telah disalahguna oleh sesetengah pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk mengaibkan orang lain.

“Tidak dinafikan ada sesetengahnya menggunakan platform ini untuk mengaibkan orang lain. Sedangkan kalau dulu, jika ada masalah boleh bertemu empat mata, sekarang mereka lebih gemar menyebarkannya di media sosial.

“Maka, kesimpulannya fikir dua tiga kali sebelum memuat naik sesuatu maklumat. Mungkin ada pihak yang ingin ambil kesempatan untuk menjatuhkan maruah orang lain,” katanya.

Sementara itu bagi penjawat awam, Nor Ermi Diana, 30, berkata media sosial adalah platform yang terbaik untuk menghubungkan semua orang namun, jika tersilap langkah, ia boleh mengundang bahaya.

“Media sosial ini tidak boleh dikawal mahupun dihentikan kerana bagi sesetengah individu, mereka tidak boleh meletakkan akaun mereka secara privasi,” katanya.