Jumaat, 15 Januari 2016

'Bil pembersihan bauksit akan dihantar ke syarikat lombong'

MALAYSIAKINI







Bil bagi segala kos kerja-kerja pembersihan akan dihantar kepada syarikat-syarikat yang terlibat dalam perlombongan bauksit, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Bagaimanapun beliau mengakui bagi mengenal pasti syarikat-syarikat ini bukannya sesuatu yang mudah.

“Untuk mengenal pasti syarikat mana terlibat bukan mudah kerana kebanyakan mereka menggunakan lori haram. Bagaimanapun, kita tetap akan mencari syarikat yang terlibat supaya mereka membayar bil-bil kerja pembersihan.

“Kos untuk kerja pemulihan belum dapat dipastikan lagi kerana masih berada di tahap awal.

Kita mahu perkara ini diselesaikan terlebih dahulu dan dalam masa sama, akan mencari syarikat terbabit kerana proses mengesannya mengambil masa,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia, semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Rabu lalu mengarahkan kementerian yang diterajui Rahman itu untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan yang terjejas akibat perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.

Kuantan bertukar menjadi bandar merah apabila ia diliputi debu tebal bauksit manakala air laut bertukar menjadi merah di Pantai Batu Hitam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh memperli Rahman kerana berkata akan mengambil masa yang lama untuk mencari syarikat-syarikat yang terlibat.

"Jawapan beliau begitu menyedihkan. Menteri pun tak boleh cari ke?”soalnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Fuziah sebelum ini memuat-naik senarai syarikat yang didakwa terlibat dalam perlombongan di Felda Bukit Goh di laman Facebook.

Malaysiakini difahamkan bahawa senarai itu juga telah dihantar kepada pembantu Rahman untuk tindakan menteri itu.


Tiada ulasan: