Khamis, 5 November 2015

Tindakan tatatertib atas penjawat awam Selangor main snuker waktu kerja




Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata antara kesalahan dilakukan penjawat awam yang dikenakan tindakan tatatertib adalah bermain snuker, makan dan minum di premis makanan dan membeli-belah ketika waktu bekerja. – Gambar fail The Malaysian Insider, 5 November, 2015. 
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata antara kesalahan dilakukan penjawat awam yang dikenakan tindakan tatatertib adalah bermain snuker, makan dan minum di premis makanan dan membeli-belah ketika waktu bekerja. – Gambar fail The Malaysian Insider,
 
 
Seramai 18 penjawat awam di Selangor dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh 9 bulan tahun ini kerana "mencuri tulang" dalam waktu bekerja, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.
 
Katanya, antara kesalahan dilakukan penjawat awam terlibat ialah bermain snuker, makan dan minum di premis makanan dan membeli-belah ketika waktu pejabat.

"Pemantauan ini turut melibatkan di kawasan-kawasan seperti premis makanan, pusat hiburan, pusat beli-belah dan sebagainya," katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik Yakob Sapari mengenai tindakan yang dikenakan serta jumlah penjawat awam terlibat. 
 
Azmin berkata, tindakan tersebut diambil atas arahan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri menerusi satu surat dikeluarkan pada 1 Jun, 2009, termasuk arahan Jabatan Perkhidmatan pada 8 April, 2009.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga mengarahkan skuad pemantauan ditubuhkan di setiap peringkat jabatan, agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun dan anak-anak syarikat yang tertakluk di bawah SUK.


Tiada ulasan: