Sabtu, 14 November 2015

Isu Yapeim: PKR doa Jamil Khir bebas tuduhan


Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin
Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin



SHAH ALAM - PKR menggesa kerajaan segera menjalankan siasatan ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan juga perlu mengawal sebarang salah urus tadbir dana di masa hadapan oleh menteri-menteri yang dilantik ini.

"Kami berharap Perdana Menteri, (Datuk Seri) Najib Razak tidak akan menutup mata tentang skandal yang telah didedahkan Now (Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan).

"Wanita Keadilan berdoa agar Jamil Khir bebas dari tuduhan kerana sebagai Ketua Hal Ehwal Islam, beliau sepatutnya seorang yang amanah jika tidak mahu dimurkai ALLAH kelak. Nauzubillah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Menteri jawab isu bersuka-ria guna dana anak yatim]

Semalam, Jamil Khir telah menjawab tuduhan Now dan menyifatkan ia sebagai satu fitnah besar sambil menyifatkan dakwaan itu menyimpang daripada fakta sebenar.

Beliau turut menjelaskan penyertaannya dalam rombongan ke Amerika Syarikat itu bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan oleh agensi-agensi di bawah seliaannya.

Pengarah Now, Akmal Nasir sebelumnya mendakwa Jamil Khir menggunakan dana Yapeim bagi membiayai perjalanan lawatan ke Amerika Syarikat bersama isterinya pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menyifatkan dakwaan itu sangat memalukan.

"Seorang menteri di JPM terutamanya yang bertanggungjawab dalam Hal Ehwal Islam tidak sepatutnya terlibat dalam skandal sebegini.

"Jika tuduhan ini tidak diberi penjelasan segera, maka Datuk Seri Jamil Khir harus meletakkan jawatan serta-merta kerana rakyat tidak boleh bertolak ansur dengan penyalahgunaan dana oleh pemimpin yang bertujuan peribadi dan mengetepikan keperluan rakyat," katanya.

Beliau juga menuntut agar Jamil Khir membentangkan jadual perjalanan serta berterus terang bagi kos perbelanjaan keseluruhan.

"Beliau juga perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa lawatan tersebut melibatkan aktiviti membeli belah dan bermain golf," katanya.

Sebelumnya, Jamil Khir memberikan Akmal dan sebuah portal media tempatan tempoh 24 jam untuk menarik balik semua dakwaan dan fitnah terhadap beliau dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Tiada ulasan: