Jumaat, 6 November 2015

Enggan pecat PAS, Azmin mungkin mahu jaga kestabilan politik Selangor - Dr Zuhdi

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Keenganan Menteri Besar Selangor melayan kerenah DAP bersabit desakan memecat wakil rakyat daripada pentadbirannya berkemungkinan bagi menjamin kestabilan politik Melayu di negeri itu.
 
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Mohd Zuhdi Marzuki berkata, tindakan Azmin itu adalah di jalan yang benar sekaligus meminta Menteri Besar itu bertegas dalam isu membabitkan elemen kesultanan.
 
Sehubungan itu, katanya pertimbangan Azmin berkemungkinan juga tidak mahukan Selangor mengulangi sejarah Perak yang satu ketika dahulu diancam dengan perkara yang sama oleh rakan musuhnya (Umno).
 
"Satu ketika dulu ketika kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Perak, kerajaan negeri Perak itu walaupun bermenteri besarkan seorang Melayu tetapi kerajaan itu adalah kerajaan minoriti Melayu.
 
"Dan ia tidak stabil, pihak politik di sebelah sana (Umno), bila-bila saja boleh menggugat kestabilan politik seperti ini.
 
"Jadi pertimbangan Datuk Menteri Besar Selangor, saudara Azmin Ali itu adalah satu pertimbangan yang cukup wajar kerana ia menjaga kestabilan politik di negeri Selangor dan memudahkan terutamanya urusan di antara kerajaan negeri dan pihak Istana, saya nampak itu di antara alasan yang cukup kuat yang saya dapat lihat mengapa (Azmin) tidak melayan kerenah DAP ini," katanya lagi kepada Antarapos dalam satu temubual eksklusif yang diadakan di sini.
 
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong yang menggesa pimpinan tertinggi DAP memberi tempoh kepada Menteri Besar Selangor untuk menyingkiran wakil rakyat PAS.
 
Chiong memberi kata dua bahawa DAP akan keluar dari pentadbiran kerajaan negeri itu jika permintaan mereka tidak dilayan.
 
Susulan desakan DAP itu juga, Zuhdi menegaskan DAP ini sebenarnya tidak memahami sejarah politik Selangor yang mempunyai sultan sebagai ketua negerinya.
 
"Pertama sekali, DAP ini dia tidak memahami latar belakang kerajaan negeri Selangor iaitu Selangor ini adalah sebuah negeri yang mempunyai sultan tidak seperti Pulau Pinang.
 
"Jadi sebuah negeri yang mempunyai sultan ini sudah pastilah elemen sejarah berkaitan dengan kesultanan dan juga politik Melayu sebagai teras kepada pentadbiran negeri Melayu itu adalah perkara yang cukup penting.
 
"Sebab sultan ini sebagai ketua negeri, di masa yang sama juga dia adalah ketua agama di peringkat negeri masing-masing.
 
"Jadi ketua agama Islam di peringkat negeri Selangor adalah sultan. Jadi sebab itu teras agama di negeri Selangor ini adalah tidak boleh dipisahkan dengan sultan sebagai ketua negeri," jelasnya lagi.
 
Zuhdi yang juga merupakan Pensyarah Universiti Malaya di Fakulti Sains berkata, pertimbangan wajar yang dibuat oleh Azmin itu juga tidak mahukan Selangor menjadi kerajaan minoriti Melayu.
 
"Di situ ada kaitan yang rapat dengan peranan kepimpinan Melayu dalam politik yang menjadi asas kepada kestabilannya.
 
"Sekiranya PAS disingkirkan daripada Exco sekaligus daripada kerajaan negeri Selangor, dengan sendirinya kuasa politik orang-orang Melayu berdasarkan kepada jumlah ADUN-ADUN yang ada dalam kerajaan berkurangan.
 
"Kerana DAP dengan jumlah ADUNnya 15 orang, kemudian PKR adalah sebahagiannya bukan Melayu menyebabkan kerajaan Selangor itu bukan kerajaan minoriti Melayu dan dia akan menjadi seperti Perak," katanya.
 
Dalam perkembangan sama, Zuhdi berkata bagi pihak PAS, beliau mengalu-alukan DAP sekiranya mereka yang menyahut cabaran untuk keluar terlebih dahulu daripada pentadbiran Selangor.
 
"Tetapi kalau DAP ingin mengambil langkah untuk keluar daripada kerajaan negeri, suatu perkara yang saya bagi pihak PAS cukup mengalu-alukan," katanya.
 
Zuhdi juga meminta supaya Azmin bertegas dalam isu ini dan jika tidak desakan yang sama akan berulang daripada DAP pada masa akan datang.
 
Dengan memberi contoh parti Islam Semalaysia itu sendiri, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS itu memerincikan sejarah yang pernah PAS alami seketika dulu sehinggakan akhirnya DAP berjaya menguasai satu lagi kumpulan (Parti Amanah Negara).
 
"Sebenarnya PKR dia kene bertegas dengan DAP, sebab DAP bergantung kepada PKR di Pulau Pinang.
 
"Kalau PKR bertegas dengan DAP dari segi posisi kerusi di Pulau Pinang itu yang boleh menggugat kerajaan negeri di sana, saya rasa DAP tidak akan semudah-mudah itu untuk mengugut Menteri Besar Selangor.
 
"Yang saya rasa mengapa DAP boleh jadi bertindak seperti itu kerana tidak ada solidariti dalam PKR.
 
"Ini telah dialami oleh PAS. Apabila kita membawa sesuatu perkara sebelum daripada muktamar sebelum ini, DAP ini mengetahui bahawa ada ruang-ruang perpecahan, jadi mereka menyokong satu pihak dan menentangs satu pihak menyebabkan tidak ada solidariti dalam PAS.
 
"Apabila sesuatu parti berhubung dengan satu parti lain dalam keadaan parti itu tidak ada solidariti sedangkan satu parti lain ada kesatuan, maka yang tidak ada solidariti ini lemah.
 
"Demikian dalam PKR sekarang ini, PKR rasanya sedang mengulangi apa yang berlaku di dalam PAS," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: