Ahad, 15 November 2015

Chong Wei tewaskan Lin Dan, jumpa Chen Long di final

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
FUZHOU:  Bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menamatkan rentetan 5 kekalahan kepada Lin Dan, untuk memastikan tiket ke final Siri Super Premier Terbuka China di Fuzhou, esok.
 
Kemenangan 17-21, 21-19, 21-19 dalam aksi mendebarkan selama 92 minit itu adalah yang pertama untuk Lee ke atas Lin Dan dalam tempoh 46 bulan selepas kali terakhir melakukannya di final Terbuka Korea, Januari 2012, sekali gus menjadikan rekod pertemuan mereka kepada 10-25.
 
Dalam aksi separuh akhir hari ini, Lee menunjukkan kekentalannya selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menjinakkan lawannya yang kerap menjadi penghalangnya menjuarai kejohanan utama di Sukan Olimpik dan Kejuaraan Dunia.
 
Namun Lee, 33, yang memburu gelaran keempatnya musim ini dan yang kedua dalam Siri Super selepas Terbuka Perancis bulan lepas, berdepan satu lagi tugas berat apabila juara dunia, Chen Long menantinya di final esok.
 
Chen Long, juara edisi 2010, 2012 dan 2013, mara ke final selepas menundukkan pemain Korea Selatan, Son Wan Ho 21-11, 21-17 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
 
Sementara itu, juara bertahan Saina Nehwal dari India mara ke final perseorangan wanita selepas menundukkan pemain tuan rumah Wang Yihan 21-13, 21-18 di separuh akhir.
 
Di final, Saina akan menentang seorang lagi wakil tuan rumah, Li Xuerui yang menundukkan rakan senegaranya Wang Shixian 21-14, 21-5 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
 
Final acara beregu lelaki akan menyaksikan pertemuan Chai Biao/Hong Wei dari China menentang wakil Korea Selatan, Kim Gi Yung/Kim Sa Rang manakala beregu wanita akan mempertemukan Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi dari Jepun dengan pasangan China, Tan Yuanting/Yu Yang.  - Bernama
 
 

Tiada ulasan: