Isnin, 16 November 2015

Adun PKR bidas kerajaan Terengganu beri Umno jaga tanah orang Melayu




Pindaan Fasal 2 Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu yang diluluskan Julai lalu memasukkan Badan Perhubungan Umno Terengganu dan PR1MA sebagai badan yang kepadanya tanah orang-orang Melayu boleh dipindah milik, kata Adun PKR, Azan Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 November, 2015. 
Pindaan Fasal 2 Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu yang diluluskan Julai lalu memasukkan Badan Perhubungan Umno Terengganu dan PR1MA sebagai badan yang kepadanya tanah orang-orang Melayu boleh dipindah milik, kata Adun PKR, Azan Ismail. – Gambar fail The Malaysian Insider, 
 
 
Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar (PKR) Azan Ismail hari ini membidas langkah kerajaan Terengganu yang menamakan Umno dan agensi kerajaan persekutuan, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), sebagai penjaga tanah rizab Melayu dalam pindaan Enakmen Tanah Simpan Bagi Orang-orang Melayu yang diluluskan Julai lalu.

Pindaan tersebut dibuat pada Mei lalu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan diwartakan 2 bulan kemudian.

Pindaan Fasal 2 tersebut memasukkan Badan Perhubungan Umno Terengganu dan PR1MA sebagai badan yang kepadanya tanah orang-orang Melayu boleh dipindah milik.

Azan bimbang langkah dibuat kerajaan Terengganu itu akan membuka pintu kepada kerajaan negeri lain mengambil langkah sama. 
 
"Dengan pindaan ini, saya bimbang ia akan jadi contoh yang merbahaya dan membuka pintu kepada negeri lain untuk mengikut jejak tersebut," kata Azan yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dalam rekod hansard DUN, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menjelaskan, langkah tersebut bertujuan melindungi tanah milik Umno dan memastikan ia kekal di tangan orang Melayu.

Lebih mengecewakan, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, hanya Azan seorang yang menentang pindaan tersebut, sementara 14 Adun pembangkang PAS lain berdiam diri dan tidak menyatakan bantahan.

"Adun pembangkang PAS yang lain tidak menyatakan bantahan terbuka, mengapa hanya Azan sahaja membantah?" kata bekas ahli Parlimen PAS tersebut yang kini menyertai Parti Amanah Negara.

Dalam pada itu, seorang lagi ahli parlimen Amanah, Hanipa Maidin berkata, mereka akan mencabar pindaan tersebut kerana bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak-hak orang Melayu.

"Saya seorang peguam dan tidak pernah melihat undang-undang seperti ini," katanya.


Tiada ulasan: