Ahad, 15 November 2015

1MDB masih miliki RM4 bilion unit amanah di Pulau Cayman, kata Arul




Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkata, pihaknya akan menebus unit amanah yang dilaburkan dalam Brazen Sky Limited dan dipindahkan ke International Petroleum Investment Company bagi membayar hutang 1MDB. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 14 November, 2015. 
Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkata, pihaknya akan menebus unit amanah yang dilaburkan dalam Brazen Sky Limited dan dipindahkan ke International Petroleum Investment Company bagi membayar hutang 1MDB. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.
 
 
Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy mengesahkan sejumlah RM4 bilion (AS$940 juta) dalam bentuk unit amanah yang dilaburkan dalam Brazen Sky Limited yang didaftarkan di Pulau Cayman masih belum ditebus. Beliau berkata, pihaknya akan menebus unit tersebut dan dipindahkan ke International Petroleum Investment Company (IPIC) bagi membayar hutang yang ditanggung 1MDB.

"Baki sebanyak AS$940 juta itu akan digunakan untuk penyelesaian hutang dalam IPIC," kata Arul semasa menjawab soalan salah seorang hadirin ketika sesi penerangan 1MDB anjuran Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pagi ini.

Katanya setakat ini, unit yang sudah ditebus dalam bentuk tunai adalah AS$1.4 bilion yang juga akan digunakan untuk tujuan mengurangkan hutang 1MDB. Menurut Arul, pelaburan dalam Brazen mempunyai nilai kerana meningkat kepada AS$2.3 bilion pada 2014, berbanding pelaburan awal yang dibuat sebanyak AS$1.83 bilion.

"Jadi, nilai tersebut naik. Daripada nilai tersebut, 1MDB menebus dalam bentuk tunai AS$1.4 bilion daripada dana itu," katanya.

Kontroversi tercetus selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan sudah membawa pulang wang yang ditebus dari Pulau Cayman.

Pada 10 Mac lalu, Najib dalam jawapan bertulis mengatakan sejumlah wang AS$1.103 bilion yang dibawa pulang dari Pulau Cayman sudah ditebus dalam bentuk wang tunai dan disimpan dalam mata wang dolar AS di Bank BSI di Singapura.

Katanya, tujuan ia disimpan di Singapura adalah bagi memudahkan urusan pengeluaran wang memandangkan peraturan Bank Negara Malaysia (BNM) yang ketat.

Bagaimanapun, sebaliknya yang berlaku apabila didedahkan tiada wang yang disimpan di Singapura sebaliknya hanya terdapat "aset kertas" (paper aset) dalam Bank BSI itu.

Sarawak Report dalam pendedahannya membabitkan 1MDB mengatakan wujud bukti menunjukkan BSI menolak dokumen 1MDB mengenai akaun Brazen Sky Limited di Singapura.

"Dokumen dibekalkan kepada pelbagai pihak berkuasa oleh Arul bagi menunjukkan penyata akaun Brazen Sky pada November 2014.

"Namun bank swasta Switzerland memberitahu pihak berkuasa Singapura yang dokumen itu bukan berasal daripada mereka dan tidak menunjukkan dokumen sah mengenai aset anak syarikat 1MDB," lapor laman web itu.

Menurut portal itu, maklumat mengenai penyata bank itu kemudiannya dilaporkan semula ke Malaysia pada 13 Mac, 2 hari selepas perdana menteri yang juga menteri kewangan mengemukakan jawapan bertulis mengesahkan baki AS$1.103 bilion sudah ditebus kembali daripada dana Brazen Sky di Pulau Cayman.


Tiada ulasan: