Jumaat, 10 Julai 2015

Pakatan Rakyat masih ada masa - Nakhaie

Oleh Azizul Osman
  Post Pic


SHAH ALAM: Perpecahan dalam Pakatan Rakyat masih boleh diselamatkan berikutan gagasan itu masih mempunyai masa sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memalu gendang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata selagi matlamat utama pembangkang untuk menumbangkan Umno Barisan Nasional (BN) tidak berubah, hubungan antara DAP-PKR dan PAS masih ada harapan untuk kembali kukuh.

"Mereka (Pakatan Rakyat) ada masa untuk memperbetulkan keadaan, PR memang ada masa dan boleh menyelesaikan masalah itu. Saya rasa mereka akan buat demikian kalau matlamat masih tidak berubah untuk menumbangkan kerajaan BN. 

"Tidak mustahil kalau matlamat itu masih menjadi pegangan bersama dan kembali rujuk antara PAS dan DAP", katanya.

Meskipun parti komponen dalam Pakatan Rakyat itu bersifat lantang sesama mereka dalam isu-isu tertentu, DAP-PKR dan PAS masih boleh berbincang dan menyelesaikan perbezaan pendapat mereka, walau tanpa 'pendamai' mereka, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isterinya, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Rundingan terus antara DAP dan PAS mungkin boleh menyelesaikan kemelut jika matlamat mereka masih teguh. Mereka boleh merunding secara terus dan menyelesaikan tanpa Anwar Ibrahim, Wan Azizah atau sesiapa," tambah Nakhaei.

Sementara itu, bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pula berpandangan hubungan tiga parti kompenan itu tidak akan bertahan lama. 

Jelas beliau, sudah terang lagi bersuluh ketiga-tiga perti itu saling mempergunakan sesama mereka demi kepentingan politik masing-masing.

"Hubungan 'perkahwinan mutaah' ini tidak akan berpanjangan, bukan satu hubungan yang kekal. Rakyat akan menderita daripada agenda ini," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.

Media sebelum ini melaporkan bahawa DAP tidak menolak kemungkinan akan bersatu kembali dengan PAS pada masa akan datang.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata perbentukan gabungan pembangkang dalam pilihan raya akan datang mungkin berlaku namun mesti berteraskan kepada dasar bersama dalam Pakatan Rakyat (PR).

Sebelum ini, DAP bertindak memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas berang dengan Presiden PAS itu bersabit isu pelaksanaan hudud di Kelantan.
Pemimpin PAS yang lain kemudiannya tampil mempertahankan Hadi dan berkata 'putus hubungan dengan Hadi bermaksud putus hubungan dengan PAS'.

Pergolakkan itu makin meruncing apabila Muktamar PAS meluluskan usul 'putus hubungan dengan DAP' tanpa bahas, 6 Jun lalu.
Seraya perkembangan itu, DAP mengisytiharkan Pakatan Rakyat sudah tiada, tanpa merujuk PAS ataupun PKR.

PAS pula bertegas Pakatan Rakyat masih wujud berikutan masih ada pakatan antara parti itu dengan PKR.

Tiada ulasan: