Khamis, 9 Oktober 2014

Wanita Maut Kereta Rempuh Belakang Treler

Oleh: CHAN LI LEEN 
 
 
Sebuah kereta remuk selepas merempuh sebuah treler di KM367 Lebuhraya Utara Selatan di Bidor, awal pagi Rabu. Foto twitter Jabatan Bomba dan Penyelamat @bombaJBPM
 
 
 
IPOH: Seorang wanita maut apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Km367 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Bidor, awal pagi Rabu.
Mangsa, Wan Markiyah Wan Hamid, 35, meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian.
Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, seorang lelaki dan lima kanak-kanak yang turut menaiki kenderaan yang sama mengalami kecederaan.
Seorang jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, orang ramai membawa kesemua mangsa yang cedera ke Hospital Slim River sebelum pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian.
"Kita telah mengeluarkan mayat daripada kenderaan itu.
"Mayat wanita itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Ketika kejadian, kedua-dua kenderaan sedang menuju ke arah selatan di lebuh raya itu.

Tiada ulasan: