Jumaat, 3 Oktober 2014

Tugas PAS ialah kerja dipenanggah, PKR dan DAP anggap PAS hanya sebagai garam dan perisa sahaja

Keseluruhan keadaannya, jika diteliti berdasarkan dengan apa yang berlaku sekarang ini, tidak salah jika saya katakan, perjalanan untuk Pakatan Rakyat untuk mencapai impian ke Putrajaya masih jauh dan masih di awang-awangan. Pakatan Rakyat belum lagi terbentuk diatas asas yang ‘promising’ untuk menjadi kerajaan yang mentadbir Putrajaya memandangkan pimpinan Pakatan Rakyat, khususnya PKR, tidak menampakan ciri-ciri sebagai pemerintah kerajaan negara.

PKR terutamanya masih bergelut dengan masalah dalaman yang serius dan ia tidak mungkin dapat membawa obor perubahan kepada politik negara kita lagi. Masakan parti yang bermasalah dalam kepimpinannya boleh menjadi pilihan rakyat kerana rakyat sedang tercari-cari siapa yang hendak menyelesaikan permasalahan yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO itu. Kita tidak boleh menggantikan UMNO yang uzur itu dengan sebuah parti yang juga uzur.

Kita tidak boleh menggantikan pemain bolasepak yang cedera dengan pemain yang patah kaki dan yang capek. Kita tidak boleh berimamkan seorang yang tidak dapat sujud kerana sakit dengan seorang imam yang mengidap penyakit ceret beret. Kita tidak boleh menyuruh pembuat kasut untuk membuat songkok dan sebaliknya kita tidak boleh meminta pembuat songkok membuat kasut.

UMNO dan BN jika diteliti dari sudut kepimpinan, mereka yang sudah hilang arah itu. Mereka sepatutnya diganti, bukannya sekarang, malahan mereka sudah patut diganti lebih satu dekad yang lalu. Tetapi rakyat masih tercari-cari pengganti kepada UMNO dan BN itu.

Sejak dua pilihanraya yang lalu rakyat cenderung untuk menukar kerajaan dengan Pakatan Rakyat, tetapi usaha itu gagal bukan kerana masalah orang ramai dan rakyat tetapi Pakatan Rakyat itu sendiri tidak bersatu dan berbelah-belah. Jika Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Putrajaya tempoh hari, maka masalah yang mendatang akan lebih besar lagi.

Masalahnya Pakatan Rakyat itu tidak didaftarkan dan tidak ada satu parti di antara tiga parti itu menjadi pemimpin Pakatan Rakyat itu. Mereka bekerjasama di atas dasar sama besar dan sama dalam segala-galanya, walaupun ia tidak menjadi kenyataan. Untungnya pihak BN, UMNO menjadi tunjangnya, maka UMNO mempunyai suara dan pengaruh yang terbesar dalam BN itu.

Pakatan Rakyat di sebaliknya tidak dapat berjalan dengan mudah kerana semua parti di dalamnya mempunyai pengaruh yang sama untuk menghadapi UMNO dan BN itu. Ketiga-tiga parti ini hanya bekerjasama untuk mendapatkan undi semasa pilihanraya sahaja, bukannya untuk menonjolkan perjuangan sebagaimana yang mereka laungkan.

Mereka terpaksa mengambil hati rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat maka tentulah ada pihak di antara ketiga parti itu yang sentiasa terkorban dan dipermainkan oleh rakan-rakannya tentang perjuangan parti itu.

PAS merupakan parti yang sentiasa terkorban dalam Pakatan Rakyat. Tidak ada apa-apa tambahan kekuatan kepada PAS dalam Pakatan Rakyat dan salah satu contohnya ialah PAS telah kehilangan satu kerusi Parlimen dalam pilihanraya yang lalu sedangkan DAP telah menambah sembilan buah kerusi setelah satu kerusinya kembali ke pangkuan BN dalam pilihanraya kecil Teluk Intan beberapa bulan yang lalu.

Sesungguhnya kita tidak boleh menyalahkan parti seperti DAP untuk menentang perjuangan PAS untuk mendasarkan perjuangannya kepada Islam kerana DAP bukannya parti orang Islam. Memperjuangkan ciri-ciri Islam bukannya perjuangan mereka. Mereka hanya mahu mendapatkan undi dan sokongan orang Melayu dan Islam dan itu adalah kebijaksanaan mereka sendiri.

Kita tidak boleh marah kepada parti yang bukan dari pimpinan Islam itu jika mereka tidak mahu bersama dalam memperjuangkan nilai-nilai Islam itu. Mereka dan penyokongnya akan membuat berbagai-bagai tuduhan seperti PAS sendiri tidak faham Islam dan sebagainya dan bukan sedikit dari pimpinan Melayu yang sekarang menumpukan tenaga untuk memberikan persepsi parti serta pemimpin Melayu dan Islam itu bodoh (stupid).

Akhirnya sebanyak mana pun pengorbanan PAS itu, PAS tetap menjadi mangsa dan korban kehendak dan nafsu pimpinan DAP dan PKR. Apabila PAS memberikan pandangan yang berbeza sedikit dengan mereka maka keluarlah kenyataan-kenyataan seperti, Hadi tidak berpendirian, PAS khianati perjuangan Pakatan Rakyat dan PAS flip-flop dan sebagainya.

Hanya PAS tidak pandai untuk membalas kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat dari parti rakan-rakan mereka dengan bijaksana. Bagi PKR dan DAP hanya mereka sahaja yang berhak untuk membuat keputusan. Hak PAS hanya lah untuk menerima sahaja apa yang mereka mahukan kerana mereka berpendapat PAS boleh mengorbankan apa-apa perjuangan sekali pun untuk mendapat kemenangan beberapa kerusi dalam pilihanraya umum dan kecil.

'Langkah Kajang' dahulu contohnya, PAS tidak dirujuk dahulu untuk melakukannya. Semasa itu PAS terpaksa memberikan sokongan memikirkan semangat kerjasama dalam Pakatan Rakyat itu. PAS dikehendaki menyokong sahaja apa yang mereka mahukan tetapi jangan sekali PAS cuba untuk memberikan pandangan yang berlainan dengan mereka. PAS akan dianggap khianat terhadap perjuangan Pakatan Rakyat (jika ada pun perjuangan).

Perjuangan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak akan kemana kerana rakan-rakan kongsi mereka akan melakukan ‘insubordinations’ terhadap setiap kemahuan PAS. Bagaimana PAS mahu memperjuangkan hudud dengan bekerjasama dengan penentang hudud yang tegar?

PAS hanya diperguna untuk menjadi 'penjunjung' mereka sahaja. Untuk kepentingan rakan-rakan ‘superficial’ mereka dalam Pakatan Rakyat, parti itu terpaksa mengalah dan akur terhadap nafsu mereka sahaja.

Ibarat kata, PAS itu 'hanyalah parti lilin, menerangi semua orang tetapi ia akan cair begitu sahaja akhirnya. PAS itu jambatan untuk pihak yang berkepentingan untuk menyeberang sahaja, atau hanya dianggap sebagai dahan bongkok untuk laluan kera-kera, monyet-monyet dan tupai-tupai sahaja'.

'Ibarat kenduri besar, PAS akan disuruh masak dan menghidang sahaja sebagai orang penanggah. Makan dan hidangan itu adalah PKR dan DAP. Selepas makan besar, PKR dan DAP akan pulang, dan PAS masih tinggal untuk tugasan membersih dan mencuci pinggan makan DAP dan PKR tadi'.

Bagi PKR dan DAP, PAS itu hanyalah sebagai garam. Dalam masakan garam itu penting, dan mesti ada dalam masakan itu. Tetapi garam itu tidak boleh lebih-lebih, nanti lauk dan gulai itu tidak boleh dimakan pula, terlalu masin. Garam itu hanya setakat sesedap rasa sahaja.

Raja-Raja Melayu pun dianggap mereka sebagai garam dan perisa masakan semata-mata.

Tiada ulasan: