Jumaat, 10 Oktober 2014

Sekurang-kurangnya pun minta maaflah


Oleh Timmy Say 


Harga minyak naik lagi. Rakyat marhaen terpaksa menukar cara hidup mereka lagi. Kos sara hidup hari ini tidak mungkin lagi sama tiga bulan akan datang.

Frasa ‘rasionalisasi subsidi’ digunakan sebagai alasan. Harga petrol negara pula dibandingkan dengan negara bukan pengeluar minyak untuk mengajar rakyat erti bersyukur dengan ‘rendahnya’ harga minyak.
 
Yang kerajaan tidak jelaskan sehingga kini: mengapa perlunya rasionalisasi subsidi?

Yang kerajaan masih tidak mahu menjawab ialah apakah langkah rasionalisasi subsidi ini langkah terakhir untuk menyelamatkan negara setelah langkah-langkah lain gagal?

Sebagai rakyat Malaysia, saya menyokong penuh tindakan rasionalisasi subsidi sekiranya ia bertujuan murni menyelamatkan ekonomi negara.

Saya rela membayar lebih untuk minyak dan bersedia berkorban gaya hidup untuk disesuaikan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dengan syarat kerajaan juga melakukan perkara yang sama.

Apakah kerajaan sudi berkorban cara hidupnya juga?

Sebagai contoh, ketika mengumumkan kenaikan harga minyak, kerajaan juga seharusnya mengumumkan inisiatif-inisiatif seperti:

- Menghadkan perbelanjaan bil elektrik dan air bagi semua jabatan kerajaan, terutamanya Seri Perdana dan Seri Satria

- Membatalkan segala majlis makan-makan sebelum dan selepas mesyuarat

- Menghadkan jumlah anggota yang mengikuti rombongan menteri ke luar negara

- Membatalkan segala cadangan mengubahsuai pejabat jabatan kerajaan untuk lima tahun akan datang

- Menghadkan jumlah tuntutan pengangkutan pegawai tinggi kerajaan

Pada skala lebih besar, kerajaan mestilah turut memaparkan prestasi mereka dari sudut mengurangkan perbelanjaan, ketirisan dan kebocoran kewangan negara ketika mengumumkan kenaikan harga minyak.

Di sini, laporan tahunan Ketua Audit Negara boleh dijadikan ukuran prestasi kerajaan dari semasa ke semasa.

Hanya dengan ini, barulah ada orang percaya langkah menaikkan harga minyak adalah langkah untuk mengurangkan defisit kerajaan!

Bukan itu sahaja, langkah-langkah itu juga dapat membantutkan kreativiti para pengguna media sosial untuk mencipta pelbagai tulisan dan gambar menarik bersifat cemuhan terhadap kerajaan sehingga rakyat terasa mereka disembelih dan dikorbankan oleh pemimpin kerajaan dalam kenaikan harga minyak untuk membolehkan kerajaan meneruskan gaya borosnya.

Semua ini secara langsung dapat mengurangkan kerugian kerajaan dari sudut politik.

Sekiranya kerajaan merasakan cadangan saya di atas susah dilakukan, saya ada satu lagi cadangan untuk kerajaan ketika membuat pengumuman menaikkan harga minyak.

Sekurang-kurangnya minta maaflah dengan rakyat semasa membuat pengumuman tersebut.

Minta maaflah kepada rakyat yang terpaksa menanggung beban sara hidup yang lebih tinggi.

Minta maaflah kepada rakyat kerana duit negara tidak lagi cukup untuk memberikan subsidi kepada rakyat. Minta maaflah kerana gagal menguruskan kewangan negara dengan baik.

Kalau susah hendak cerita faktanya, sekadar minta maaf sudah mencukupi.

Ia jauh lebih elok daripada terus kelentong rakyat dengan segala alasan yang tidak masuk akal sehingga kini. Sekurang-kurangnya kamu masih dilihat menghormati mereka.

Tiada ulasan: