Sabtu, 11 Oktober 2014

RM2.2b program untuk golongan memerlukan

MALAYSIAKINI


Kerajaan memperuntukkan RM2.2 bilion dalam Bajet 2015 bagi melaksanakan program untuk golongan memerlukan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, antara lain merangkumi bantuan kewangan kepada keluarga miskin, kanak-kanak, warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) sebanyak RM1.2 bilion.
  
"Untuk menunjukkan keprihatinan kepada golongan ini, kerajaan memperuntukkan RM66 juta untuk membantu 110,000 OKU di seluruh negara, dengan kadar bantuan bagi OKU bekerja dinaikkan daripada RM300 kepada RM350, manakala bagi OKU tidak bekerja dinaikkan daripada RM150 kepada RM200.
  
"Pelepasan cukai bagi setiap anak yang OKU dan pembelian peralatan sokongan asas bagi diri sendiri, pasangan, anak dan ibu bapa OKU, dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM6,000," katanya ketika membentangkan "Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat" di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
  
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kadar makanan harian 8,700 penghuni di 63 institusi Jabatan Kemajuan Masyarakat, dinaikkan daripada RM8 kepada RM16 dan geran tahunan Majlis Kebangsaan bagi OKU juga ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.

"Menambah lima buah Pusat Aktiviti Warga Emas menjadikan 50 buah di seluruh negara serta Unit Penyayang Warga Emas yang menyediakan pengangkutan percuma kepada warga emas ke hospital," katanya.

Najib berkata bagi mengukuhkan pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM711 juta kepada Kementerian Pendidikan, Tabika Kemas, PERMATA dan Tabika Perpaduan.- Bernama

Tiada ulasan: