Logo MCA Logo MCA
 
 
KUALA LUMPUR - MCA bakal mengetengahkan lebih ramai pemimpin wanita parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, partinya kini sedang melatih pemimpin-pemimpin wanita yang berkelayakan untuk merebut kembali kerusi-kerusi yang terlepas kepada pembangkang dalam pilihan raya lalu.

"Kita berharap lebih ramai wanita akan muncul sebagai pemimpin kita dan dapat membantu memenangkan kembali kerusi-kerusi yang telah kalah pada masa yang lepas.

"Dalam hal ini, ahli wanita sangat penting. Kita juga dalam proses mengenalpasti calon-calon supaya pada PRU14, akan lebih ramai lagi calon wanita akan dikemukakan untuk bertanding dalam peringkat Parlimen dan juga negeri," katanya kepada pemberita pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan Wanita MCA, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau turut menyebut bahawa MCA telah mula melatih pemimpin wanita sebagai pendedahan awal dalam menjadi ahli yang lebih berwibawa.

"Buat sementara waktu ini kita beri latihan kepada mereka supaya mereka dapat dilatih di pelbagai peringkat.

"Selain itu, kita juga ada sekolah politik untuk diwujudkan bagi melatih ahli kita supaya mereka menjadi ahli yang lebih berwibawa," katanya.

MCA turut mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengenalpasti kelemahan dan merangka strategi dalam menghadapi PRU14.

"MCA telah wujudkan jawatankuasa untuk menghadapi PRU14. Kita kenalpasti tempat-tempat di mana kelemahan kita dan kekuatan kita.

"Kita akan buat penyusunan semula strategi supaya kita dapat perbaiki prestasi di kerusi yang kita menang dan yang kalah itu diharap menang balik," katanya.