Jumaat, 10 Oktober 2014

PAS T'ganu tangguh sertai Majlis Perundingan Rakyat

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: PAS Terengganu memutuskan untuk menangguhkan penyertaan buat sementara waktu dalam Majlis Perundingan Rakyat (MPR) anjuran Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman.

Pesuruhjayanya, Saiful Bahri Mamat berkata, keputusan tersebut dibuat setelah meneliti laporan ke atas perjalanan majlis tersebut daripada wakil PAS yang telah turut serta dalam beberapa siri program tersebut.

Sebelum menyertai semula ke dalam majlis itu, PAS Terengganu katanya mendesak menteri besar untuk mengambil serius beberapa tuntutan.

Ianya termasuk memberi perakuan tandatangan wakil rakyat dari Pakatan Rakyat dalam borang-borang permohonan oleh rakyat bagi diproses permohonan mereka oleh badan-badan kerajaan terutamanya kepada permohonan bantuan pendahuluan kemasukan ke IPTA atau IPTS.

Katanya, sikap 'double standard' yang diamalkan oleh badan-badan atau jabatan-jabatan kerajaan ini menyusahkan dan tidak langsung dilihat mengutamakan kepentingan rakyat terbanyak.
    
PAS negeri juga mendesak peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang diluluskan secara adil kerana mereka telah dibuktikan menang secara sah dalam PRU yang lalu hasil daripada pilihan rakyat setempat.

"Amatlah tidak wajar kami wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat secara sah mengikut undang-undang yang ada dalam negara ini dinafikan hak peruntukan pembangunan sebagai wakil rakyat.

"Sebalilknya secara tidak demokrtarik pihak lain pula yang diberikan kuasa mengawal peruntukan pembangunan itu. Sedangkan pada tahun 1999 ketika pemerintahan PAS, peruntukan pembangunan wakil rakyat itu diagih secara adil kepada semua wakil rakyat sehinggalah royalti dirampas ketika itu," katanya dalam satu kenyataan.
   
Selain itu, mereka turut mendesak agar kerajaan Terengganu menyelesaikan terlebih dahulu masalah pengambilan tanah penduduk di Kg Banggol Donas Manir dan juga perampasan tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan di Jalan Santong, Paka yang belum selesai sehingga kini yang melibatkan kepentingan rakyat yang sepatutnya diselesaikan seberapa segera.

Menurut Saiful, tiga permintaan tersebut kesemuanya memenuhi semangat majlis yang ditubuhkan oleh Menteri Besar iaitu berunding bagi kebaikan dan kesejahteraan rakyat negeri Terengganu.

Ianya juga selaras dengan penekanan Menteri Besar dalam Transformasi Terengganu Baharu (TTB) yang mana salah satunya ialah Transformasi Politik iaitu mahu mendengar dan melibatkan rakyat dalam membuat keputusan.

Ia juga bertepatan dengan salah satu daripada lapan prinsip asas kepada gagasan TTB ini iaitu “inklusif” di mana Menteri Besar berjanji akan meraikan suara takyat dalam pembangunan serta prinsip intergriti yang mana Menteri Besar juga menekankan perlunya pembersihan luar dan dalam, katanya.

"Sehingalah tarikh pembentangan Bajet 2015 nanti, jika masih tiada pelaksanaan terhadap tuntutan kami ini, maka kami menganggap Menteri Besar memilih untuk tidak mahu memberikan hak yang sepatutnya kepada rakyat dan rakyat akan melihat ketidakikhlasan kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar dalam melaksanakan TTB cipataan Menteri Besar sendiri," katanya.
- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: