Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SABAK BERNAM: Selepas krisis jawatan Menteri Besar Selangor mulai reda
dengan pelantikan Mohamed Azmin Ali, PAS kini menuntut agar PKR dan DAP
tidak melampaui perjuangan bersama di dalam Pakatan Rakyat.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali
berkata, konsep tahaluf siyasi yang dimeterai sejak 2008 lalu tidak
harus dicemari dengan unsur khianat di antara satu sama lain.
"Tahaluf siyasi kita ini bersyarat. Jangan khianat rakan-rakan kita
sendiri. Jangan berkata yang bukan-bukan. Jika berpakat buatlah cara
berpakat. Kita baru bertunang, belum kahwin lagi.
"Bila memaksa kita (ikut kemahuan PKR dan DAP), kita merasa payah
sangat. Rasa macam tak usahlah bernikah. Kalau mahukan kita, tolong
jangan buat perangai negitu lagi. Tolong, raikan pandangan kita walaupun
berbeza," katanya pada satu forum PAS di Tebuk Pulai, Sabak Bernam.
Khairuddin turut merujuk kepada tuduhan 'pengkhianat' yang dilemparkan
DAP kepada empat bekas exco PAS yang bersama Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim di dalam tempoh peralihan kuasa sebulan yang lalu.
Katanya, PAS terkilan dengan kenyataan itu sedangkan parti Islam itu
melihat kepada skop yang lebih luas berbanding perjuangan politik
peribadi dan kepartian sahaja.
Forum berkenaan diadakan untuk merungkai kekusutan ahli-ahli PAS
terhadap kemelut politik semasa di Selangor yang kebelakangan ini
menyaksikan serangan terbuka terhadap ketiga-tiga parti dalam Pakatan
Rakyat.
PKR, DAP 'tinggalkan' PAS dalam buat keputusan
Menjelaskan isu berkaitan Khairuddin menyelar sikap penting diri PKR
dan DAP dalam membuat kebanyakan keputusan, dan segera melabelkan ia
sebagai 'keputusan majoriti'.
Sebagaimana pendirian Majlis Syura Ulama PAS sebelum ini, Khairuddin
meluahkan rasa kecewanya apabila presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang, sentiasa disisihkan.
"Hadi buat keputusan untuk mengekalkan Khalid (selepas PRU-13). Ini
adalah ijtihad Hadi sebagai seorang presiden meskipun kita tak buat
mesyuarat. Dan selepas kita adakan mesyuarat, PKR-DAP-PAS setuju untuk
pilih Khalid (MB Selangor PRU-13).
"Jadi apabila tiga parti setuju, tiba-tiba kalau nak gugur Khalid pula
kaedahnya bagaimana? Kena dapatkan persetujuan ketiga-tiga parti
jugalah. Mana boleh dua parti sahaja," tambahnya sambil membidas
keputusan gopoh PKR dan DAP yang dibuat dahulu untuk menyingkirkan
Khalid.
Walaupun sentiasa melaungkan sikap kebersamaan di dalam Pakatan, PKR
dan DAP daripada awal lagi gagal menerapkan 'konsensus Pakatan Rakyat'
yang sering dilaungkan dua parti itu sebelum ini, katanya.
Langkah Kajang yang diusulkan untuk menjatuhkan Khalid diteruskan walaupun tanpa 'restu' dari PAS, tambahnya.
"Mereka minta pandangan PAS, tapi tak sempat buat keputusan DUN Kajang
sudah kosong. Itu bukan tanya untuk mendapatkan pandangan, itu paksaan.
"Selepas menang PRK Kajang sehinggalah kepada bulan Ramadan lalu,
mereka terus memaksa untuk tukar Khalid. Kita ajukan apa hujah untuk
tukar? Majlis Syura PAS dan presiden mahu Khalid dikekalkan. Adakah apa
yang disebut Hadi itu di luar keputusan mesyuarat?
"Tidak, kerana Hadi membawa keputusan bersama 6 Januari lalu. Namun
akhirnya Hadi diserang dengan mengatakan ia sebagai pandangan peribadi,"
kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi.
Maka tegasnya, sejak dari awal lagi PAS berpegang kepada kaedah untuk
menggugurkan Khalid perlu melalui kaedah tertentu dan sekiranya beliau
disabitkan dengan isu integriti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan