MALAYSIAKINI
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyambut sinis pembentangan Bajet 2015
oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan membangkitkan persoalan
rasuah dalam projek dan inisiatif yang diumumkannya.
Paling lantang, Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
mempersendakan tindakan Najib yang mengumumkan projek lebuh raya rentas
Borneo bernilai RM27 bilion sekali lagi dalam pembentangan kali ini.
Sedangkan, projek lebuh raya sepanjang meliputi 936 kilometer di Sarawak
dan 727 kilometer di Sabah itu sudahpun diumumkan enam tahun lalu,
katanya.
“Umum Lebuh Raya Pan Borneo... tepukan (oleh) BN, tapi sudah enam tahun
umum yang sama,” katanya dalam reaksi segera di Twitter sejurus selepas
pengumuman Najib.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, MP Permatang Pauh itu juga
membangkitkan mengenai kos sara hidup yang menurutnya tidak ditangani
dalam bajet kali ini.
“Kenaikan kos petrol tidak berdaya maju ekoran kejatuhan harga minyak di pasaran dunia.
“Tidak dinyatakan langsung mengenai cara menangani ketirisan, rasuah,
tender terbuka dalam beberapa kontrak utama yang akan meningkatkan kos.
“Bagi saya, ketirisan ini jika tidak ditangani, berbahaya dan ini akan
meningkatkan lagi kenaikan harga petrol,” katanya ketika ditemui
pemberita di bangunan parlimen.
Beliau turut memberi amaran bahawa masalah dalam pelaksanaan GST bukan
hanya melibatkan pengecualian cukai tetapi juga pendekatan dalam
menangani kenaikan harga.
Sementara itu, ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pula melihat
bahawa tema “Ekonomi Keperluan Rakyat” itu tidak ditunjukkan dalam
inisiatif yang diumumkan Najib.
Jelasnya, Najib tidak menangani isu kronisme melibatkan pengeluar tenaga
bebas (IPP) dan 1MDB Corporation yang banyak mendapat perhatian.
“Kesemua isu ini tidak dijawab dan ditangani. Masih ada banyak yang
perlu dilakukan untuk memastikan ianya bajet rakyat,” katanya yang
kecewa kerana soal menangani jenayah juga tidak dinyatakan Najib.
Sementara itu, MP Shah Alam, Khalid Samad pula mensasarkan kritikannya
ke atas pengumuman Najib mengenai pembinaan dua hospital baru – di
Dungun, Terengganu dan Seri Iskandar di Perak.
Beliau sangsi dengan kemampuan kerajaan membina projek tersebut kerana
pembinaan hospital di kawasannya juga masih belum siap sejak enam tahun
lalu.
“Dijanjikan hospital di beberapa bandar lain. Hospital Shah Alam pun
belum siap-siap lagi. Sudah enam tahun tidak siap-siap lagi,” katanya.
MP Pandan, Rafizi Ramli pula mensasarkan kritikannya ke atas ucapan
Najib yang memetik satu hadis Nabi untuk mengingatkan peminjam agar
melunaskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional
(PTPTN).
Dengan sinis, beliau mengingatkan Najib mengenai kontroversi pinjaman
mudah untuk projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC).
“Saya fikir jika peminjam PTPTN tidak bayar hutang, nanti roh
tergantung-gantung. Eh, hutang NFC macam mana? Tergantung di One
Menerung?,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian untuk mengaitkan pembelian kondominium mewah oleh individu terbabit dengan NFC.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan