Khamis, 2 Oktober 2014

Nasrudin kesal kes pukul bekas qari kebangsaan

KHAIRIL ABDUL RAHIM 



Nasrudin meneliti dokumen yang mengesahkan ladang tersebut milik Shafii.
 


TEMERLOH: Ahli Parlimen Temerloh Ustaz Nasrudin Hassan melahirkan rasa kesal di atas tindakan kekerasan terhadap imam masjid Ustaz Shafii Lebai Hanafiah yang dipukul beramai-ramai di ladangnya di sini.

Katanya, tidak sepatutnya pihak terbabit menyelesaikan masalah dengan bertindak melulu menggunakan kekerasan apa lagi imam berkenaan mengambil hasil tanaman di atas tanahnya yang sah.

Serentak dengan itu beliau mencadangkan supaya Shafii mengambil tindakan mahkamah sebagai pengajaran supaya perkara yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang.

“Setelah saya melihat kepada semua dokumen dan fail-fail yang ditunjukkan, saya yakin kes ini berpihak kepada kepada tuan imam kerana tidak melakukan kesalahan, jadi kenapa dihalang dan dipukul? Jadi saya cadang dibawa kes ini ke mahkamah supaya lepas ini tidak timbul masalah lagi.

“Jika tidak, akan datang akan timbul lagi isu-isu lain pula. Jadi kes kekasaran ke atas tuan imam ini mestilah dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika melawat Shafii di rumahnya.

Shafii ialah qari kebangsaan pada tahun 2006 pada Majlis Tilawah al-Quran dan mendapat tempat ketiga peringkat antarabangsa pada tahun yang sama.

Beliau yang juga guru al-Quran, pernah mewakili negeri Pahang sebanyak 8 kali di majlis tilwah tersebut.

Dalam kejadian Khamis minggu lalu, Shafii mendakwa beliau telah dipukul beramai-ramai di ladangnya di lot 8053 Felda Lakum, Lanchang.

Menceritakan kejadian tersebut, beliau berkata mula masuk ke ladang jam 8 pagi melihat pekerja memotong buah sawit di tanahnya yang dibelinya dari arwah Yusof, peneroka di Felda yang sama. Kemudiannya pukul 10 sawit tersebut dimasukkan ke dalam lori untuk dipunggah ke kilang.

Kira-kira pukul 10.30 pagi penyelia ladang datang dan kejadian pertengkaran dan kekasaran berlaku jam 11 pagi apabila pengurus dipanggil datang.

“Pada mulanya penyelia itu kata tak boleh ambil buah sawit di ladang yang saya beli itu. Saya kata saya dah tanya hakim mahkamah, tanah ini saya dah bayar habis, dah sah milik saya jadi saya boleh ambil hasillah di tanah saya.

“Tak lama kemudian pengurus technoplant tiba. Bila dia sampai saya pun hidupkan motosikal untuk beredar balik. Ketika itu dia menjerit ke arah saya bertanya mana geran.

“Saya jawap geran ada di rumah, takkan nak bawa ke ladang. Setelah seketika bertengkar saya diterkam. Kemudian lima buah motosikal lagi datang mengugut saya dan menghalang tak bagi balik. Saya pecut motor nak lari balik dan merempuh sehingga sama-sama jatuh,” ceritanya.

Shafii berkata, selepas itu beliau menerima rawatan bengkak-bengkak di klinik akibat jatuh dan dipijak-pijak dan turut membuat laporan polis.

Shafii berkata, beliau membeli tanah berkenaan pada tahun 2003 dan telah diselesaikan bayaran mengikut undang-undang, jadi tidak sebab Felda mengaku tanah tersebut milik mereka. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: