Khamis, 2 Oktober 2014

Minyak naik: Umno BN tidak boleh diharap bela rakyat


Oleh AHMAD FADHLI SHAARI


Berita berkenaan kenaikan harga minyak atas nama rasionalisasi subsidi hakikatnya mengejutkan banyak pihak. Namun, jika dilihat kepada gaya berbelanja kerajaan Umno/Barisan Nasional, tidak ada yang pelik dengan tindakan mengurangkan subsidi ini yang menyebabkan harga minyak RON95 dan diesel mengalami kenaikan sebanyak 20 sen.

Tindakan ini wajib dikutuk pada saat rakyat sedang terbeban dengan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang sedang diperkenalkan.

Tidak ada sebarang sebab musabab ia diperkenalkan pada saat ini kecuali sebagai satu hadiah kepada rakyat khususnya di Pengkalan Kubur kerana terus memberikan kemenangan kepada calon Umno 25 September yang lepas.

Jika sebelum ini, kerajaan kebiasaannya mewar-warkan bahawa kenaikan minyak berlaku selaras dengan kenaikan minyak dunia. Namun, pada kali ini, kenaikan minyak dunia tidak boleh dijadikan alasan. Semakan di laman http://www.infomine.com/ mendapati bahawa harga minyak dunia bukan setakat tidak mengalami kenaikan bahkan mengalami penurunan ketara semenjak akhir-akhir ini.

Untuk rekod, pada 1 Oktober 2013 yang lalu, minyak mentah (crude oil) direkodkan pada harga USD108 / barrel. Namun pada 30 September 2014 iaitu semalam, harga minyak mentah ditutup dengan harga USD97.14 / barrel. Adakah kerajaan Umno mahu menggunakan alasan penurunan harga minyak menyebabkan perniagaan Petronas kurang untung sehingga menyebabkan pengurangan subsidi?

Kerajaan perlu bertindak selaras dengan kemampuan rakyat. Hakikatnya, bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang nampak popular tetapi mengakibatkan kenaikan harga minyak wajib dipertimbangkan semula.

Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri pada 2 September 2013 yang lepas sewaktu mengumumkan pengurangan subsidi minyak RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, kerajaan berjaya jimatkan sebanyak RM1.1 billion. Ia boleh dirujuk di akhbar Utusan Malaysia pada 3 September 2013. Ini bermakna, pengurangan subsidi sebabnyak 20 sen menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM1.1 billion!

Walaupun tidak dinyatakan angka penjimatan kerajaan untuk kenaikan minyak pada kali ini, namun berdasarkan pemotongan subsidi sebanyak 20 sen, boleh dianggarkan bahawa penjimatan kerajaan pun sekitar RM1.1 billion.

Malangnya, untuk Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi tahun 2014, kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM4.6 bilion bagi diberikan seacara tunai kepada rakyat. Bayangkan jika BR1M ini tidak dilaksanakan, di atas kertas kerajaan boleh meningkatkan subsidi minyak sebanyak 80 sen (20 sen = RM1.1 billion)!

Kita bukannya anti terhadap BR1M, namun jika untuk memberikan bantuan one-off seperti itu menyebabkan rakyat terpaksa menanggung kenaikan harga minyak berlipat kali ganda, sewajibnya kerajaan Umno/Barisan Nasional bertindak dengan akal yang waras. Perlu diingatkan, kenaikan harga minyak tidak dapat tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan yang kesemuanya bergerak menggunakan minyak.

Rakyat perlu bangkit. Sedar dan insaf bahawa Umno/Barisan Nasional tidak boleh diharap untuk menjadi pembela rakyat. Walaupun mereka menghulurkan ketuhar microwave secara percuma pada hari pengundian, ia sebenarnya tidak lebih melainkan hanya untuk memanggang rakyat sendiri di kemudian hari!

Lakukan bantahan. Jika boleh berkempen, lakukan. Jika boleh sebarkan risalah maka sebarlah. Dan selemah-lemah bantahan ialah menolak Umno/Barisan Nasional di kertas undi nanti

Tiada ulasan: