Jumaat, 31 Oktober 2014

[KEMASKINI] Pembinaan lebuhraya Kidex diteruskan tapi bersyarat - MB [TONTON VIDEO]

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Kerajaan negeri akan meneruskan rancangan pembinaan lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) namun dengan syarat ia perlu mematuhi polisi yang ditetapkan kerajaan negeri.
 
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, lebuh raya berkenaan perlu mematuhi tiga perkara penting yang digariskan bagi menjamin pembinaannya memberi manfaat kepada rakyat negeri ini dan pengguna jalan raya amnya.
 
"Sudah tentu ia perlu memastikan kesemua kelulusan untuk pelaksanaannya mesti dipenuhi. Pertamanya laporan trafik, ia perlu meyakinkan kita bahawa lebuh raya itu akan mengurangkan kesesakan trafik di Petaling Jaya.
 
"Keduanya kita mahu melihat kadar maklum balas berkenaan lebuh raya itu. 
 
"Ketiganya kita mahu memastikan kesemua perjanjian konsesi juga mesti didedahkan kepada awam,"katanya selepas menghadiri perjumpaan bersama kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, pagi tadi.
 
Projek lebuh raya sepanjang 14 kilometer dengan anggaran kos RM2.2 bilion itu sebelum ini mendapat bantahan penduduk setempat yang mendakwa ia akan memusnahkan alam sekitar, selain menyebabkan harga hartanah merudum, dan disifatkan bukan penyelesaian yang bijak kepada masalah lalu lintas.
 
Malah ia juga menjadi salah satu punca kepada pengguguran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan menteri besar, berikutan kegagalanya memberi penyelesaian kepada isu berkenaan.   
 
Mengulas lanjut, Azmin berkata, setakat ini beliau sudah mengadakan perjumpaan dengan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan serta wakil masyarakat sivil kawasan berkenaan untuk membincangkan projek lebuh raya itu.
 
Sementara itu, mengulas berhubung draf Rancangan Tempatan Petaling Jaya (RTPJ) yang turut mencetuskan kontroversi, Azmin berkata beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada Alinah dan Ahli Majlis untuk mencapai kata sepakat, sebelum kerajaan negeri memutuskan langkah susulan untuk draf berkenaan.  
 
"Mesti ada konsultasi di antara Datuk Bandar, Ahli Majlis untuk memastikan pindaan baru rancangan tempatan mesti mencapai konsensus antara Datuk Bandar dan Ahli Majlis, dan baru kembali kepada kerajaan negeri
 
"Saya tak kata mahu hentikannya tapi saya mahu konsultasi berterusan. Datuk Bandar duduk berbincang dengan Ahli Majlis dan sudah mengadakan perbincangan dan sudah tentu kami melihat 'provision' bersama peguam.
 
"Bila saja sudah capai konsensus, kita akan bersetuju dengan pindaan itu. Tapi buat masa ini biarkan kami bekerja dan lihat pandangan Datuk Bandar, Ahli Majlis.. Dan akan kembali kepada SPC (Jawatankuasa Perancang Negeri) untuk kelulusan akhir. Tapi sebelum itu kena capai konsensus,"katanya. 
 
Alinah sebelum ini dikritik kerana dilihat mengambil keputusan secara bersendirian dan enggan mengendahkan suara majoriti ahli majlis yang menyokong agar draf berkenaan dimansuhkan. 
 
Ahli majlis juga meminta agar pindaan RTPJ dihentikan sehingga maklum balas daripada rakyat diberi perhatian sewajarnya kerana khuatir rancangan berkenaan akan merosakkan pembangunan mampan. 
 

Tiada ulasan: