Sabtu, 4 Oktober 2014

Jamila bakal jadi boneka DAP - Rahmad Isahak

Oleh Shawaliah Hadir
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Tindakan gadis muda Jamila Rahim memilih DAP sebagai parti pilihannya telah mengundang kritikan pelbagai pihak.
 
Bekas ahli DAP Rahmad Isahak juga tidak bersetuju dengan tindakan wanita berpurdah yang lebih dikenali sebagai Melati itu, kerana umum mengetahui parti itu bukan sahaja mendiskriminasi Melayu malah dilihat rasis terhadap Islam. 
 
Katanya, kehadiran golongan hawa di parti itu khususnya Melayu hanya akan dipergunakan DAP sebagai boneka untuk menarik perhatian dan sokongan kononnya parti itu bukan anti-Melayu. 
 
"Di tengah-tengah kemelut Islam yang sedang diperlekehkan oleh DAP, kita rasa cukup tersinggung, dukacita dan terperanjat kerana ada seorang lagi anak Melayu yang berpurdah telah menyertai DAP. 
 
"Saya juga ingin menasihatkan dua wanita yang sebelum ini menyertai DAP, kena belajar banyak lihat apa yang berlaku terhadap pemimpin-pemimpin Melayu (dalam DAP)," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi. 
 
Pada usia muda, Rahmad berkata, banyak lagi selok belok dan helah DAP yang tidak diketahui Jamila yang hanya akan merugikan diri sendiri kelak. 
 
Tindakan Jamila yang juga seorang penulis novel turut dibidas Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed. 
 
Mahfodz berkata, DAP secara terang-terangan menolak usaha untuk mewujudkan negara Islam dan berkeras mahu PAS membatalkan hasrat mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini.
 
Justeru, katanya, gadis berpurdah itu perlu memikirkan semula keputusannya menyertai DAP. 
 
Mengulas lanjut Rahmad berkata, PAS yang merupakan rakan sekutu DAP dalam Pakatan Rakyat (Pakatan) juga secara lantang menempelak Jamila ekoran 'kesilapan' beliau menyertai DAP. 
 
"Itu bukan tempat yang selamat untuk memperjuangkan politik beliau dan masa depannya bukan terletak kepada parti seperti DAP. 
 
"Kalau PAS pun boleh mengkritik begitu mendalam walaupun kita tahu sekarang ini keretakan berlaku di antara PAS dan DAP mahupun PKR. Tetapi pandangan PAS itu sepatutnya dijadikan teladan sebelum dipergunakan sepenuhnya (oleh DAP) yang secara terang-terangan menolak Islam dan Melayu," ujarnya. 
 
Rahmad yang juga Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) berkata, terdapat banyak lagi parti Melayu yang boleh dipilihnya untuk disertai bagi membolehkan wanita memperjuangkan politiknya.
 
Keputusan ini sekali gus memberi contoh buruk kepada rakan sebaya Jamila.  
 
"Saya rasa lebih baik beliau menyertai parti-parti Melayu. Banyak lagi parti Melayu yang ada dalam negara ini ... PAS, Umno, PKR dan sebagainya," jelasnya.
 
Jamila, seorang graduan diploma Bahasa Inggeris Universiti Selangor (Unisel) berusia 22 tahun, juga aktivis anak yatim.
 
Untuk rekod, sebelum ini Dyana Sofya Mohd Daud dan anak gadis Melayu bertudung, Syefura Othman (Rara) merupakan ahli DAP yang mendakwa parti itu sesuai dengan perjuangan mereka.

Tiada ulasan: