Rabu, 22 Oktober 2014

Hudud: DAP pusat harus beri penerangan kepada DAP Sarawak


 
 
Khalid Samad berpendapat hasrat DAP Sarawak ingin keluar daripada Pakatan Rakyat hanya pendirian DAP Negeri.

dap


PETALING JAYA : Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad berpendapat hasrat DAP Sarawak yang ingin keluar dari Pakatan Rakyat (PR) hanya merupakan pendirian DAP negeri.
Tambahnya, pihak PAS hanya mengadakan tahaluf siyasi dengan DAP peringkat pusat.

“Pandangan daripada DAP Sarawak itu kita ambil kira. Tetapi ianya tidak menjejaskan kerjasama antara kita (PAS) dengan DAP di peringkat pusat,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chien Jen baru-baru ini yang berkata DAP Sarawak akan meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya kumpulan ulama PAS yang memperjuangkan hukum hudud menguasai parti itu selepas pemilihan parti pada Jun tahun depan.

“Sekiranya (kumpulan) progresif liberal menguasai (jawatankuasa pusat PAS), maka tiada sebab kami akan keluar.

“Keputusan untuk keluar (daripada PR) adalah keputusan yang tidak dapat diubah. Sebelum kami mengambil keputusan yang tidak dapat diubah itu, kami perlu bersikap terbuka mengenai pilihan yang ada dan menyatakan pendirian kami secara jelas,” katanya.

Khalid yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, DAP pusat seharusnya berbincang bersama DAP Sarawak berkenaan isu tersebut.

“Dia sama dia harus berbincang. Yang soal keluar atau tidak mahu keluar itu, tiada siapa yang boleh paksa,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat realiti politik di Sarawak amat berbeza dengan realiti politik Kelantan dan isu tersebut tidak menjejaskan Pakatan Rakyat.

“Tak perlu kita hendak melenting kerana ia merupakan pandangan peribadi seseorang dan yang paling penting DAP pusat perlu menjelaskan berkenaan isu tersebut,” katanya.

Dalam pada itu Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berpendapat isu tersebut merupakan masalah yang ditimbulkan oleh DAP negeri.

“Itu kenyataan yang ditimbulkan oleh DAP negeri. Maka kepimpinan DAP pusat perlu jawab,” katanya.

Tiada ulasan: