Khamis, 9 Oktober 2014

Dua murid di Kudat cedera ketika duduki UPSR

MALAYSIAKINI


Dua pelajar lelaki tahun enam, Sekolah Kebangsaan Panudahan dekat Kudat, cedera ringan selepas  bumbung kelas mereka diterbangkan angin kencang ketika sedang menduduki peperiksaan ulangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pagi tadi.
  
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Jame Alip berkata murid berkenaan, Jil Muin cedera di bahagian peha terkena kipas siling yang jatuh manakala Danielson Danius cedera ringan terkena siling papan lapis.
  
Turut cedera dalam kejadian pukul 8.30 pagi berkenaan kata Jame ialah seorang guru lelaki pengawas peperiksaan, Jamil Totong yang cedera di bahagian belakangnya terkena beluti.
  
"Semasa kejadian, peperiksaan ulangan UPSR bagi kertas Matematik sedang dijalankan. Pada ketika itu, 37 murid sedang menduduki peperiksaan dengan tiga orang guru pengawas di dalam dua kelas," katanya dalam kenyataan  di Kudat hari ini.
  
Bagaimanapun, kata Jame semua calon peperiksaan UPSR sekolah berkenaan dapat menyempurnakan peperiksaan  mereka selepas dipindahkan ke blok bangunan bersebelahan bilik guru yang tidak terjejas dengan kejadian  ribut  berkenaan.

Dalam kejadian itu, empat kelas dan bilik pentadbiran terjejas manakala kereta milik guru besar  sekolah itu turut rosak dihempap kayu.
  
Menurut Jame, semasa kejadian guru besar dan sembilan guru berada di dalam  bilik guru sekolah itu. - Bernama

Tiada ulasan: