Sabtu, 11 Oktober 2014

CPI tak percaya pegangan bumi kurang 10 peratus

MALAYSIAKINI


 


Pusat Inisiatif Polisi (CPI) mempersoalkan tumpuan kerajaan ke atas usaha memperkukuhkan pemilikan golongan bumiputera dalam firma korporat.

Pengarahnya, Lim Teck Ghee membangkitkan perkara itu dengan merujuk kepada pengumuman perdana menteri dalam pembentangan Bajet 2015 semalam – bahawa pegangan saham bumiputera kurang dari 10 peratus.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, beliau mengesyaki bahawa angka tersebut sudahpun “diolah”.

“Tiada kajian mendalam yang dibuat untuk mendapatkan kesimpulan ini.

"Tetapi jika anda sertakan GLC yang mana hampir keseluruhannya dikuasai bumiputera, jelas sekali bahawa kawalan bumiputera adalah jauh lebih daripada itu,” katanya.

Menurutnya lagi, data daripada dokumen Rancangan Malaysia juga menunjukkan bahawa penguasaan kelompok bumiputera adalah jauh lebih daripada itu.

“...walaupun menggunakan pendekatan nilai tara yang dipersoalkan, pemilikan saham bumiputera dalam syarikat berhad meningkat dari 19 peratus kepada 22 peratus pada 2008 manakala saham bukan bumiputera merosot dari 49 peratus kepada 36.7% dalam tempoh sama.

“Sejak itu kita boleh jangka saham bumiputera telahpun meningkat, terutama apabila diambil kira pegangan dalam GLC,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Najib dalam ucapannya juga tidak menyatakan kaedah agihan atau penyaluran peruntukan yang diumumkan itu.

Najib dalam ucapannya mengumumkan peruntukan RM600 juta untuk Ekuinas bagi meningkatkan pemilikan bumiputera dalam syarikat swasta dan berkaitan kerajaan.

Tiada ulasan: