Jumaat, 10 Oktober 2014

Belanjawan PR pertahan subsidi rakyat

SALMIYAH HARUN 



 


KUALA LUMPUR: Belanjawan Malaysia 2015 Pakatan Rakyat meletakkan empat keutamaan yang akan menjadi tumpuan dalam tahun 2015 demi mempertahankan kebajikan rakyat.

Empat keutamaan itu adalah;

- Gaji yang adil demi memastikan pekerja mendapat perkongsian yng sewajarnya dalam membina hidup yang bermaruah

- Mempertahankan subsidi untuk golongan berpendapatan rendah dan subsidi umum untuk mengekang kenaikan harga barang.

- Menyediakan lebih banyak skim kewangan perumahan dan skim perumahan rakyat yang lebih redikal untuk membantu golongan muda dan berpendapatan rendah memiliki rumah.

- Merancakkan ekonomi desa supaya penduduk desa tidak terus terpinggir dari arus ekonomi dan tertekan dengan kenaikan sara hidup yang turut sama mereka hadapi.

Belanjawan ini dibentangkan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada media dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Parlimen hari ini.

Belanjawan Malaysia 2015 Pakatan Rakyat ingin mengembalikan roh kebajikan dalam wacana belanjawan dan perancangan ekonomi negara.

"Mengusulkan program-program kebajikan rakyat bukanlah sesuatu yang tidak baik, mempertahankan subsidi rakyat bukan bermakna tidak pandai ekonomi.

"Malah dalam keadaan ekonomi sekarang yang semakin melebar kesenjangan miskin kayanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memperkukuhkan lagi sistem jaringan sosial dan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah,"katanya.

Bahkan katanya, pentadbiran Najib Tun Razak memberi gambaran bahawa program yang membela golongan miskin dan berpendapatan rendah adalah punca kemurungan ekonomi negara.

"Subsidi petrol dan diesel banyak membantu mengelakkan kenaikan harga barang dan diperlukan oleh golongan berpendapatan rendah, di pedalaman diwar-warkan sebagai bebanan yang boleh memusnahkan ekonomi negara," katanya. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: