Rabu, 8 Oktober 2014

Bajet 2015 : Penduduk Orang Asli Gombak Mahu Peruntukan Sektor Ekonomi

Amirul Ashraff


alt



GOMBAK  - Masyarakat Orang Asli di sini meminta agar pihak kerajaan tidak terlepas pandang dalam menyediakan peruntukan bagi pembangunan ekonomi golongan tersebut dalam pembentangan Bajet 2015 yang dijadualkan pada 10 Oktober nanti. 

Menurut Tok Batin Kampung Batu 16, Hamid Padam,63, beliau berpendapat bahawa masyarakat orang asli di penempatan tersebut memerlukan sejumlah dana dalam sektor pertanian bagi menambah pendapatan harian mereka ekoran dari kekurangan hasil hutan sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

"Dari segi perumahan, kerajaan telah sediakan semuanya. Cuma apa yang saya harapkan adalah peruntukan dalam sektor perladangan seperti aktiviti cucuk tanam, ladang getah dan kelapa sawit. Ianya amat penting bagi saya.

"Kalau hanya setakat sediakan rumah sahaja ianya tidak mencukupi. Elektrik juga tidak ada. Kami mempunyai tanah yang begitu luas, berpuluh ekar. Apa yang kami minta adalah supaya kawasan ini dimajukan sebagai sebuah kawasan pertanian, kalau tidak lulus pada menteri mungkin kami akan mohon kepada sultan kerana beliau lebih berkuasa," katanya kepada Rakyat News dalam satu tinjauan disini, baru-baru ini.

Hamid turut mempersoalkan sikap kerajaan yang seperti acuh tak acuh untuk menyalurkan bekalan elektrik kepada penempatan masyarakat orang asli meskipun perkara tersebut telah lama diutarakan oleh penduduk setempat.                                 

"Kenapa elektrik masih belum di salurkan lagi ke penempatan masyarakat orang asli? Sebab apa dan kenapa, dimana silap dan salahnya?

"Berpuluh tahun kami bergelap, dari era 70-an sehingga kini dan perkara ini amat merisaukan kami semua," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan juga harus memberikan perhatian yang serius dari segi pelajaran untuk masyarakat orang asli sepertimana yang dijalankan buat penduduk bandar berdasarkan kepentingannya kepada setiap golongan.

"Kalau boleh pelajaran diharus diberi perhatian disini kerana ianya amat penting bukan itu sahaja malah apa sahaja keperluan yang diperlukan untuk pembangunan masyarakat orang asli diharap dapat disalurkan oleh kerajaan sewajarnya," katanya lagi.

Tiada ulasan: