Sabtu, 11 Oktober 2014

Bajet 2015: Kepentingan pihak-pihak tertentu didahulukan?





Oleh Hazlan Zakaria


Dengan pilihanraya umum ke-13 hanya tinggal kenangan, kita tidak perlu mengharapkan bajet yang mesra rakyat. Sebaliknya, kita perlu menjangka Bajet 2015 yang hanya memberi kelebihan kepada pihak-pihak tertentu dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 10 Oktober kelak (Jumaat).

Sewajarnya kenaikan harga petrol dan disel tempoh hari dijadikan indikasi bahawa perkara buruk bakal menjelma.

Walaupun ada di antara kita akan teruja dengan pemberian wang bantuan sekali-sekala, kita harus ingat kesan jangka panjang yang terpaksa ditempuhi.

Dalam karangan berbahasa Inggeris istilah yang digunakan ialah “pork barrel”, dan ia tidak bermaksud daging babi.

“Pork barrel” sebenarnya istilah sains politik bagi merujuk tindakan ahli politik mengguna serta menyalahguna dana awam bagi disalurkan kepada golongan penyokong mereka sahaja.

Berbalik kepada isu tumpuan, Najib mungkin telah berjanji akan mendengar suara rakyat dan berkata kerajaan tidak tahu serba-serbi, namun tindakan beliau dilihat berbeza.

Contohnya di dalam penggunaan Akta Hasutan yang pernah dijanji akan dimansuhkannya sedikit masa dahulu. Najib ketika itu turut berkata akan menghormati kebebasan media. Siapa agaknya yang menangguhkan pemansuhan ini?

Atau mungkin di sini terdapat sindrom “Aku tolong engkau, engkau tolong aku” yang sering kedengaran di kalangan pendokong BN.

Najib mungkin membuat janji manis, tetapi ia dimungkiri orang-orang di bawah telunjuknya agar perdana menteri itu tidak dipersalahkan kerana gagal memenuhi janjinya.

Cuba ingat kembali watak Lumiere di dalam filem Disney “Beauty dan The Beast” yang berkata kepada the Beast: Anda beri wanita coklat, bunga dan janji yang tidak akan anda penuhi.

Sekiranya Najib memainkan watak The Beast, beliau sudah tentu faham peranan yang wajar dimainkannya... iaitu menabur janji.

Tambahan pula rakyat Malaysia mudah lupa. Maka selepas mereka diberi wang bantuan, sudah tentu segala kemungkaran yang dilakukan pemimpin akan dilupakan. Tunggu sajalah enam bulan lagi kalau anda tidak percaya.

Tuan-tuan, masanya telah tiba lagi bagi pembentangan bajet dibuat dan diluluskan tanpa banyak bicara di parlimen kita.

Ia bukannya didebatkan di Dewan Rakyat yang sewajarnya menjadi tonggak di dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

Itulah yang anehnya tentang amalan demokrasi menurut citarasa Tun Mahathir di mana kuasa Eksekutif di sini menggunakan parlimen sebagai cop mohor dan setem getah bagi meluluskan segala yang dihajati mereka.

Bajet atau belanjawan seharusnya permintaan daripada pihak kerajaan kepada parlimen bagi pembiayaan negara. Namun, di sini ia tampak seperti senarai membeli-belah yang ditandatangani pihak Legislatif. Di kemudian hari, akan diminta pula bajet tambahan.

Bahkan Parlimen pula yang nampaknya bergantung kepada Eksekutif bagi mendapatkan pembiayaan, kakitangan dan sebagainya.

Kita bernasib baik kerana pihak pembangkang masih berupaya mengetengahkan berbagai isu bagi menyedarkan kerajaan bahawa perbelanjaan negara perlu dibuat secara berhemah.

Contohnya, pihak pembangkang telah menempelak cadangan aneh seperti jawatankuasa pelaburan diwujudkan bagi Lembaga Hasil dalam Negeri.

Namun ketika ini, bajet Malaysia masih kelihatan seperti urusan bagi mendapatkan cop mohor sambil pihak pembangkang hanya dapat memerhatikan pembentangannya.

Walaupun tiada pilihanraya tahun ini, pemimpin BN sudah tentu mahu tahu siapa yang bakal mendapat keuntungan kerana mereka masih mengekal kuasa. Jadi pihak-pihak mana yang bakal disalurkan bantuan atau peluang meraih kekayaan? Inilah yang saya gelar “pork barrel” tadi.

Cuba lihat berapa banyak kilang memasang kereta mewah dan kenderaan tentera dibina di Pahang hari ini.

Bukan kebetulan bahawa perdana menteri sendiri dipilih pengundi di Pekan, Pahang.

Sudah tentu perkara yang sama akan berlaku tahun ini di mana Najib akan menyalurkan kewangan kepada para penyokongnya agar mereka terus gembira.

Berdepan asakan bertali-arus daripada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Najib perlu mempertahankan kedudukannya.

Selepas menunjukkan beliau mampu bertindak garang menggunakan Akta Hasutan, Najib kini bakal menonjolkan kehebatan beliau dengan membentang bajet tahunan.

Sebelum ini Najib telah melantik beberapa muka-muka yang dikenalinya menerajui pelbagai syarikat berkaitan kerajaan walaupun kebolehan mereka tidaklah begitu diketahui.

Jadi kita perlu menjangka langkah serupa dilakukan di dalam agihan kekayaan negara yang disalurkan melalui pelbagai kementerian agar dapat memberi senyuman kepada pihak-pihak yang menyokong kepimpinan Najib.

Ketika menteri-menteri BN terus mengingatkan kita rakyat biasa agar berjimat cermat di dalam perbelanjaan, merekalah yang sebenarnya mendapat habuan daripada pembentangan Bajet 2015 ini.

Tiada ulasan: