Khamis, 9 Oktober 2014

Bajet 2015: Diharap tidak pinggirkan wanita

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Pembentangan Bajet 2015 yang dijadualkan esok oleh menteri kewangan sedang dinanti oleh seluruh rakyat Malaysia. Adakah sama seperti sebelumnya atau ada sesuatu yang baik untuk masa depan rakyat dan negara.

"Menjelang pembentangan belanjawan 10 Oktober 2014, diharap kerajaan tidak mengabaikan golongan wanita pada saat kos sara hidup yang kian meningkat terutama menjelang GST yang bakal dilaksanakan pada April 2015." Ujar menurut Normala Sudirman, Presiden Suara Pengguna Prihatin Malaysia yang juga merupakan Timbalan Hal Ehwal Pengguna PAS Pusat.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Pengguna Dewan Muslimat PAS Malaysia juga berkata bahawa dalam suasana tekanan ekonomi yang dirasai oleh segenap lapisan masyarakat pada hari ini - kenaikan harga barang, tarif elektrik, harga minyak dan pelaksanaan GST bermula pada tahun 2015 - memberi impak bebanan yang besar kepada seluruh rakyat, terutama bagi yang berpendapatan sederhana dan rendah.

“Melalui pembentangan bajet 2015 yang akan dibentang pada 10 Oktober 2014 ini, kami berharap kerajaan akan memberi perhatian juga kepada golongan wanita melalui caruman daripada kerajaan dengan kadar yang ditetapkan, setiap bulan agar kebajikan mereka terbela." Ujarnya lagi.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar diwujudkan Skim Pelindungan Wanita yang ditimpa musibah dan Skim Simpanan Hari Tua  bagi wanita.

Bagi suri rumah yang berpendapatan RM1500 ke bawah, beliau mencadangkan adanya suatu skim khas yang membolehkan wanita berdikari. Kerajaan juga disaran mewujudkan caruman khas minimum RM10 sebulan dari suami kepada isteri bagi membolehkan mereka ada simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 supaya boleh memulakan perniagaan kecil-kecilan jika kematian suami, misalnya.

Kerajaan juga disaran merancang skim seperti membuat caruman minima RM50 setiap bulan kepada suri rumah sebagai tanda penghargaan terhadap golongan wanita yang mendidik anak-anak dan menjaga kesejahteraan keluarga.

"Suatu skim untuk ibu tunggal yang terpaksa menyara persekolahan anak anak akibat kehilangan suami juga wajar ada di samping menyediakan peluang pekerjaaan yang bersesuaian tanpa perlu bekerja hingga larut malam yang akhirnya menyebabkan keselamatan mereka terancam.

"Saya juga mencadangkan supaya waktu kerja anjal untuk wanita dilaksanakan ditempat bekerja seperti di R&R dan tol lebu hraya serta juru wang di kedai dan premis perniagaan selepas jam 12 malam. Adalah lebih baik jika selepas jam 12 malam, kaum lelakilah bertugas. Hal ini penting demi keselamatan mereka.

Normala juga menegaskan tentang kesan berantai yang akan berlaku akibat jatuhnya harga sawit dan getah, kemudian pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (CBP).

Oleh hal yang demikian, beliau berharap belanjawan 2015 nanti tidak meminggirkan kaum wanita. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: