Sabtu, 4 Oktober 2014

Asyik-Asyik Rakyat Yang Diminta Berkorban...

shahbudindotcom


Untuk kesekian kalinya, apabila saja kerajaan memutuskan mahu memotong subsidi, hujah yang selalu digunakan ialah ianya untuk kebaikan negara bagi jangka panjang. Oleh yang demikian, kata para pemimpin, rakyat haruslah berkorban demi masa depan negara.

Kononnya, tak apalah susah sedikit sekarang, asalkan senang untuk jangka panjang. Lagi pula, kata pemimpin yang berada di singgahsana, subsidi ini tidak baik, tidak menjadikan rakyat berdaya saing dan tidak selamanya rakyat harus bergantung dengannya.

Ketika empat kali subsidi gula dikurangkan sejak 2009 lalu, itulah alasan yang dihujahkan. Ketika banyak kali harga minyak dinaikkan melalui pengurangan subsidinya, itulah juga alasan yang digunakan.

Dua hari lalu, subsidi petrol dan diesel dikurangkan lagi untuk menjadikan harganya naik 20 sen seliter. Dengan kenaikan ini, harga barang keperluan, minuman dan makanan di kedai dan restoran sudah pasti akan meningkat. Menjelang sambutan Hari Raya Korban tahun ini, rakyat benar-benar terasa menjadi korban.

Seperti biasa juga, apabila berlaku situasi ini, Perdana Menteri, Najib Razak sekali lagi meminta rakyat berkorban untuk menerima dengan baik kenaikan ini. Dengan alasan kenaikan ini untuk kebaikan jangka panjang ekonomi negara, tambah beliau, hanya dengan adanya pengorbanan ikhlas rakyat, maka hasilnya dapat sama-sama dikecapi nanti.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan Malek yang telah melekat di kepala rakyat dengan label "menteri cap ayam" lebih dahsyat seruannya. Beliau bahkan meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga minyak ini dan bukannya dengan mengadakan bantahan di jalanan.

Biasanya orang bersyukur sebab naik gaji, dibelanja makan percuma, dapat beli barang dengan harga murah atau seumpamanya. Tapi Hasan Malek minta kita bersyukur sebab harga petrol sekarang RM2.30 seliter berbanding RM2.10 sebelumnya. Dahsyat daya fikir menteri ni!!

Kenapakah dalam soal menaikkan harga barang melalui pengurangan subsidi ini, hanya rakyat yang diminta berkorban? Tidak cukupkah lagi pengorbanan rakyat selama ini yang bukan saja bekerja keras dalam karier masing-masing dalam pelbagai bidang yang semuanya untuk kepentingan negara dan kemudian membayar pula cukai pendapatan dan perniagaan kepada kerajaan?

Di ketika rakyat berulangkali diminta berkorban untuk negara dengan menerima kenaikan demi kenaikan, apakah pula pengorbanan daripada pemimpin?

Walaupun kita tahu pemimpin juga bekerja keras memajukan negara, tapi imbuhan yang mereka terima juga melimpah-ruah. Bukan saja setiap kilometer perjalanan mereka dibayar, bahkan elaun petrol, keraian, rumah, hotel, bertugas luar kawasan, telefon, orang gaji dan sebagainya semuanya dibayar oleh kerajaan.

Selain percutian mewah setahun sekali yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, mengadakan majlis jamuan pun diberikan kerajaan. Makan, minum, tidur dan melepak di hotel pun kadangkala dengan perbelanjaan yang dibayar oleh kerajaan.

Kereta pula disiapkan dengan pemandunya sekali yang mana mereka tidak pernah pun mengeluarkan wang daripada poket sendiri untuk mengisi minyaknya.

Apalah salahnya, di ketika banyak kali Najib dan ramai yang lain meminta rakyat berkorban, sesekali pula pemimpin pun berkorban sama. Tunjukkanlah sama semangat berkorban, janganlah asyik rakyat saja diminta berkorban.

Sekurang-kurangnya sebulan dalam setahun misalnya, apalah salahnya Najib dan menteri-menteri mengisi petrol dengan wang saku mereka sendiri sebagai pengorbanan kepada kerajaan. Kalau tidak pun, berkorbanlah dengan mengecualikan daripada membuat pelbagai tuntutan elaun, juga setidak-tidaknya sebulan dalam setahun sebagai menunjukkan teladan sama-sama berkorban bersama dengan rakyat. Sesekali tunjukkanlah ikhlasnya berkhidmat dengan percuma pula.

Dikira pengorbanan yang besar nilainya juga jika Najib dan menteri-menterinya dapat mengurangkan bajet percutian dengan hanya bercuti di dalam negara saja. Kurangkan juga perbelanjaan untuk majlis-majlis keraian seperti jamuan rumah terbuka dan berbuka puasa kerana kadangkala ia bukan saja diadakan di peringkat kementerian, tetapi juga di setiap agensinya, kawasan Parlimen dan sebagainya. Ramadan dan Syawal selalunya adalah bulan berseronok dengan makan minum saja.

Jika Najib dan menteri-menterinya dapat melakukan pengorbanan seperti itu, tentulah rakyat dengan senang hati juga berkorban bila minyak atau gula dikurangkan subsidinya.

Lagi pula, rakyat juga tertanya-tanya apakah hasilnya kepada negara ini setelah sekian banyak kali subsidi minyak dan gula sudah dikurangkan itu? Mengapakah perbelanjaan masih defisit juga dan hutang kian mencanak setiap tahun?

Bukankah jika subsidi sudah dikurangkan yang bermakna kerajaan mempunyai lebih banyak wang, maka defisit akan bertambah baik dan hutang negara juga tidak bertambah?

Bukanlah rakyat tidak boleh berkorban setiap kali kerajaan mahu mengurangkan subsidi sebagaimana yang diminta oleh Najib tetapi selain perlu menunjukkan hasilnya, janganlah asyik rakyat saja yang terkorban atau dikorbankan.

Pemimpin yang baik ialah mereka yang lebih dulu membuat pengorbanan sebelum meminta rakyat berkorban. Janganlah hanya rakyat yang berkorban, dikorbankan atau terkorban tetapi pemimpin hanya tahu jadi tukang korban.

Tiada ulasan: