Ahad, 17 Mac 2013

Sebar gambar fitnah baru, blogger Umno direstui Najib – Johari

Mohd Arif Juhaini

KUALA LUMPUR :  Penyebaran gambar fitnah lucah melibatkan individu mirip Ketua Umum KEADILAN  menunjukkan Umno BN kehabisan modal dan hanya mengulangi taktik lama, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Datuk Johari Abdul.

“Gambar lucah itu menunjukkan, dalam pemikiran Umno BN hanya penuh dengan idea lucah dan ganas.

“Mereka langsung tidak tahu malu guna gambar itu sebagai bahan kempen, Jelas, Umno BN makin tercabar dengan sokongan padu rakyat kepada Anwar,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Fitnah terbaru itu disebar  kira-kira seminggu selepas Azlan Md Lazim, bapa kepada Saiful Bukhari membuat pengakuan betapa kes Fitnah II hanya konspirasi politik untuk memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, individu dalam paparan gambar berkenaan kelihatan tegap dan terlalu muda tanpa kedutan berbanding susuk lelaki berusia 65 tahun seperti Anwar.

Ia mungkin cubaan blogger pro-Umno untuk membaiki kesilapan pada rakaman video yang direka trio Datuk T, diketuai ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay pada 2011 yang memapar individu berperut buncit.

Mengulas lanjut, Johari juga percaya Datuk Seri Najib Razak merestui penyebaran gambar berkenaan hingga mendorong blogger dan media kawalan Umno berani menyiar bahan lucah di medium umum.

“Saya percaya, keberanian blogger dan media Umno BN kerana mereka percaya itulah jalan untuk menjatuhkan kredibiliti Anwar,” katanya.

Tiada ulasan: