Isnin, 4 Mac 2013

Nur Misuari sedia bantu rundingan dengan kumpulan bersenjata Sulu

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER
 
KUALA LUMPUR— Pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari menawarkan dirinya untuk membantu Malaysia dalam rundingan bagi menyelesaikan masalah pencerobohan di Sabah secara aman.

Pengasas Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari. — Gambar Reuters“Ia adalah mesej saya kepada Perdana Menteri Malaysia, (Datuk Seri) Najib Razak bahawa saya bersedia untuk menghantar cucu saudara saya yang merupakan sepupunya untuk mengadakan perbincangan terbuka,” kata Misuari dipetik dari portal berita Filipina, Rappler.com.

Menurut Misuari, beliau juga bersedia pergi ke Malaysia untuk membantu menamatkan krisis.

Walau bagaimanapun dakwa Misuari, Malaysia tidak menyahut tawaran tersebut.

Tetapi Misuari berkata, beliau bimbang mengenai kanak-kanak dan wanita di Lahad Datu yang “kini sedang berhadapan dengan kebuluran dan bahaya,” lapor portal berita itu lagi.

Misuari menafikan dakwaan beliau membiayai kumpulan bersenjata yang terlibat dalam pencerobohan Sabah.

Pengikut Sultan Sulu belayar ke Sabah bulan lepas bagi menuntut kembali negeri tersebut yang didakwa milik mereka.

Pemerintah Filipina melalui presidennya, Benigno “Noynoy” Aquino merayu supaya mereka pulang ke tanah air tetapi kumpulan terbabit enggan.

Putrajaya sebelum cuba untuk berunding secara damai dengan militan Filipina berkenaan, tetapi memberi amaran mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan senjata menentang kumpulan itu supaya mereka keluar dari Sabah.

Sehingga semalam, 22 hari sejak penceroboh tersebut mendarat, seramai 8 polis Malaysia dan 20 militan dilaporkan terkorban dalam insiden yang berlaku di tiga daerah di Sabah itu.

Tiada ulasan: