Isnin, 4 Mac 2013

Rakyat Sabah bimbang krisis merebak

 
Kawasan-kawasan berhampiran pantai seperti Semporna paling terdedah dengan ancaman itu.



KOTA KINABALU:  Rakyat Sabah bimbang krisis yang membabitkan tentera Sultan Sulu dengan pihak berkuasa Malaysia di Lahad Datu merebak ke daerah-daerah lain di negeri itu.

“Ada tanda-tanda krisis ini akan merebak ke tempat lain…kita tidak boleh pandang remeh perkara ini.

“Kawasan-kawasan berhampiran pantai seperti Semporna dan  paling terdedah dengan ancaman itu.

“Tetapi boleh mereka ke kawasan-kawasan lain seperti Sandakan, Tawau malah hingga ke Kota Kinabalu,” kata Presiden Gabungan NGO Sabah, Androd Sadian hari ini.

Androd menggesa pihak berkuasa menamatkan krisis itu segera bagi mengembalikan keyakinan penduduk Sabah terhadap keselamatan mereka.

Katanya, rakyat Sabah kini berada dalam ketakutan sejak tercetusnya peristiwa itu 9 Februari lalu.

Sehingga ini berpuluh orang telah terbunuh termasuk lapan anggota polis dalam dua kejadian di Lahad Datu dan Semporna.

Musuh tidak dikenali

“Pergerakan harian penduduk di Lahad Datu dan kawasan-kawasan menjadi terhad ekoran peristiwa tersebut.

“Mereka tidak berani keluar rumah,” tambahnya.

Sementara itu, Androd berkata, setakat ini penceroboh menjadikan anggota polis sebagai sasaran mereka sementara keselamatan orang awam masih terkawal.

Katanya,  pihak keselamatan kini berdepan dengan musuh yang mereka tidak kenali kerana wajah tentera Sulu serupa dengan rakyat Filipina yang menetap di Sabah.

“Orang Sulu ini juga wajahnya hampir sama dengan warga Filipina keturunan Kagayan yang begitu ramai di Sabah termasuk di Kota Kinabalu.

“Saya juga khuatir orang Filipina itu menjadi pengintip dan menyalurkan maklumat mengenai anggota keselamatan kita kepada penceroboh Sulu.

“Dengan maklumat dalaman itu memudahkan penceroboh Fiipina itu menjejak anggota polis dan tentera negara kita,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: