Jumaat, 15 Mac 2013

Halang Dr Pornthip bedah siasat Sugumar, ‘Duduk Bantah’ depan JPM

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Satu himpunan ‘Duduk Bantah’ akan diadakan di depan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sekiranya Najib Razak gagal memberi jawapan berhubung tuntutan keluarga untuk membawa pakar forensik Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand.

Jaya

“Kami minta Najib beri jawapan dalam 48 jam. Jika tidak, kami akan adakan protes Duduk Bantah depan JPM,” kata Timbalan Ketua Biro Guaman dan Hak Asasi KEADILAN, S Jayathas kepada Keadilan Daily.

Katanya, keluarga Sugumar menolak sama sekali keputusan bedah siasat pertama oleh pakar patologi Hospital Serdang kononnya Sugumar mati disebabkan sakit jantung.

“Beberapa saksi beri keterangan bahawa Sugumar dipukul polis dalam keadaan bergari sebelum meninggal,” kata Jayathas.

Kata Jayathas, sekiranya Najib menafikan kerajaan menghalang Dr Porthip melakukan bedah siasat kedua, pakar patologi itu perlu dibenarkan masuk.
pornthip
Pada 15 Februari lalu, Kementerian Keadilan Thailand dilaporkan bimbang dengan rasa kurang senang kerajaan Malaysia berikutan penglibatan Dr Pornthip dalam bedah siasat kedua kematian yang dikatakan berpunca daripada keganasan polis.

Kementerian berkenaan membuat kesimpulan dalam laporan berdasarkan penglibatan ahli patologi itu dalam siasatan kontroversi melibatkan pembantu ahli politik DAP, Teoh Beng Hock yang mati ketika disoalsiasat SPRM pada 16 Julai 2009.

Laporan tersebut dipetik, dalam kes kematian Sugumar, kerajaan Malaysia sekali lagi risau tindakan Dr Pornthip berhubung wawancara atau kenyataannya akan memberi impak negatif terhadap kerajaan ketika pilihan raya umum semakin hampir,

Laporan itu yang merupakan dokumen rasmi Kementerian Keadilan Thailand yang ditulis dalam bahasa Thai.

“Tapi, sekarang dah masuk hari ke 52. Mayat Sugumar disimpan di Hospital Serdang. Keluarga tak boleh menunggu lama. Kami mahu keadilan dan kebenaran dalam kes Sugumar,” kata Jayathas. (SDQ)

Tiada ulasan: