Oleh Ariff Juhani
KUALA LUMPUR : Selesai solat Jumaat hari ini, puak Umno membuka
pentas ceramah fitnah mengaitkan pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu
pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Perhimpunan yang disertai kira-kira 50 ahli dari beberapa NGO pro
Umno itu diadakan berdekatan Masjid Negara dan bangunan Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim), di sini bermula jam 2.15 minit petang tadi.
Sebuah lori dijadikan pentas fitnah bertajuk ‘Anwar dalang Lahad Datu’ untuk pemimpin utama NGO terlibat.
Mereka mencerca dan memfitnah Ketua Umum KEADILAN dalam isu tersebut.
Turut menjadi sasaran, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
Presiden Jati, Datuk Hassan Ali berulang kali mengaitkan hubungan
Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mantan pemimpin Moro National Liberation
Front (MNLF), Nur Misuari dan kumpulan pemisah Filipina.
Antara yang hadir, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali; Ahli Parlimen
Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin dan Mursyidul Am Kelab Tolak
Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), Muhammad Zahid Md Arip.
Mengulas tindakan itu, Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN, Fariz Musa
berkata, Umno BN ketandusan isu untuk dibawa dalam pilihan raya akan
datang.
Beliau menyifatkan, fitnah yang mengaitkan Anwar sebegitu tidak ubah seperti meludah ke langit.
“Ramai sudah maklum penafian Nur Misuari mengenai pembabitan Anwar dalam insiden Lahad Datu.
“Puteri Jacel Kiram iaitu waris Sultan Jamalul Kiram III juga
menafikan sebarang komunikasi dengan pembangkang Malaysia dan menolak
dakwaan berlaku perbincangan antara mereka,” kata Fariz kepada Keadilan Daily.
Fariz berkata, himpunan fitnah itu tak ubah rancangan tidak bermoral Umno untuk membentuk persepsi umum kononnya Anwar bersalah.
“Mereka cuba mempengaruhi pengundi luar bandar dengan memfitnah Anwar
kerana mereka tahu kempen itu gagal diterima pengundi muda dan bandar
disebabkan kelompok ini terdedah pelbagai sumber berita,” kata Fariz. –
NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan