Khamis, 14 Mac 2013

Beri peluang Pakatan buktikan manifesto – Dr Muhammad Nur

Oleh: Rusnizam Mahat

KUALA LUMPUR : Rakyat diseru memberi peluang kepada Pakatan Rakyat membuktikan manifesto dengan memilih gabungan parti itu dalam pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty.

Katanya, manifesto yang mengandungi pelbagai tawaran kepada rakyat itu tidak akan terlaksana sekiranya Pakatan tidak diberi mandat mentadbir negara.

“Manifesto yang diisytihar ini memang dicemburui oleh BN kerana gagasannya yang bersifat komprehensif dan mensejahterakan rakyat.

“Ia merangkumi usaha membanteras kemiskinan, membela golongan lemah termasuk golongan kurang upaya dan memberi pendidikan percuma kepada generasi muda,” katanya.

“Jika tidak diberi peluang kepada Pakatan, kemungkinan tawaran ini tidak dapat dilaksanakan,” ujarnya ketika dihubungi.

Justeru, Muhammad Nur menyeru orang ramai agar meneliti kandungan manifesto berkenaan yang dilancarkan pada Konvensyen Pakatan Rakyat, 25 Februari lalu.

Ujarnya, keupayaan Pakatan untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dapat dibuktikan berdasarkan urustadbir berhemah di negeri-negeri yang dimenanginya pada PRU lalu.

“Janji yang dibuat oleh Pakatan telah ditepati dan ini dibuktikan menerusi pengurusan kewangan yang cekap oleh kerajaan di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah,” tambahnya.

Antara lain, manifesto bertemakan Harapan Rakyat itu berjanji mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan baru dan menetapkan gaji minima sebanyak RM1,100.

Pakatan juga berikrar meringankan kos sara hidup dengan menurunkan harga barang, harga petrol dan diesel, caj elektrik dan air, dan menghapuskan tol secara berperingkat.

Dokumen itu turut menyatakan komitmen Pakatan menyediakan 150,000 rumah mampu milik, selain merombak dasar automotif negara dengan menghapuskan cukai eksais, dan memperkenalkan harga kereta serendah RM25,000.

Bagi golongan pelajar, manifesto Pakatan menawarkan pendidikan percuma dan menghapus PTPTN dengan yuran pengajian di institusi milik awam ditanggung kerajaan. Ia merupakan sebahagian daripada pelbagai lagi faedah yang ditawarkan kepada rakyat.

Dalam pada itu, Dr Manuty turut menyentuh pengumuman kerajaan menaikkan gred gaji baru anggota polis, tentera dan kakitangan awam yang disifatkan meniru manifesto Pakatan dan Buku Jingga.

“Itu pun merupakan satu lagi dasar yang ditiru daripada manifesto dan Buku Jingga yang ditawarkan Pakatan,” ujarnya.

Tiada ulasan: