SEREMBAN:
Sepasang suami isteri di Taman Seri Telawi, Paroi, di sini, buntu
menghitung nasib diri apabila mereka terpaksa merempat di tempat cucian
kereta kerana rumah mereka dilelong tiga minggu lalu.
Rosmazura Abd
Samad, 42 tahun, bersama suaminya yang uzur, Dahalan Ahmad, 65 tahun,
diarah keluar daripada rumah mereka selepas tidak mampu membayar
ansuran bulanan RM700 kepada bank.
“Memang
sudah berbulan-bulan kami tidak mampu membayar sewa menyebabkan bank
menghalau kami keluar daripada rumah teres yang mahu dilelongnya itu.
“Kami
diberitahu rumah itu sudah dibeli dan terpaksa mengangkut semua barang
serta pakaian ke tempat cuci kereta ini, yang sudah dianggap seperti
rumah,” kata beliau ketika ditemui di sini Jumaat lalu.
Beliau,
yang berkahwin dengan suaminya hampir enam tahun lalu, tidak menyangka
nasib mereka seburuk itu sehingga terpaksa merempat dan tidur dalam
keadaan atap bocor.
“Sudah nasib kami begini. Suami pula disahkan menghidap paru-paru berair awal Ramadan lalu dan tidak mampu bekerja lagi.
“Saya
masih kuat bekerja, tetapi mengenangkan suami sakit dan sentiasa
memerlukan bantuan, saya terpaksa menjaganya,” kata beliau.
Lebih
menyedihkan, dua anak perempuannya bersama suami pertama yang berusia
14 dan 15 tahun terpaksa ditempatkan di rumah adiknya di kawasan
berhampiran berikutan tiada ruang untuk tidur di tempat cucian kereta
itu.
“Lagipun tidak elok anak gadis tidur dalam keadaan terbuka begini. Memikirkan nasib mereka saya menangis.
“Hidup kami juga mengharapkan belas ihsan adik untuk makan,” katanya lagi.
Rosmazura
berkata ‘rumahnya’ yang dalam keadaan terbuka itu telah memberi peluang
kepada penyamun mencuri dapur dan tong gasnya.
“Sudahlah hidup dalam keadaan daif, peralatan dapur seperti kuali, periuk dan tong gas dicuri pencari besi buruk.
“Kami
sekeluarga tidak mampu beraya seperti orang lain dan tiada sebarang
persiapan dilakukan, berikutan tempat cucian kereta kepunyaan suami
tidak mampu lagi diusahakan kerana tiada elektrik dan air,” katanya.
Rosmazura
terpaksa menyimpan pakaian dalam kereta dan sehingga hujung bulan ini
mengharapkan belas ihsan tuan rumah yang membeli rumah mereka agar
mendapatkan air dan elektrik.
“Bulan depan mereka sudah berpindah masuk membuatkan kami akan tidur dalam keadaan bergelap tanpa elektrik,” katanya.- Harian Metro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan