Khamis, 13 September 2012

Tee Yong enggan berdebat dengan wakil Selangor dalam isu Talam




KUALA LUMPUR — Datuk Chua Tee Yong enggan berdebat tentang cara pembayaran hutang Talam Corporation oleh kerana beliau takut kepada kebenaran, kata kerajaan negeri Selangor hari ini.

MCA telah menganjurkan debat pada malam ini di antara Chua dan menteri besar (MB) Selangor.

“Kami mahu platform untuk kedua pihak untuk bercakap secara matang dan beri peluang kepada rakyat untuk menentukan siapa betul dan siapa salah,” kata Tony Pua dari DAP, salah seorang daripada empat wakil dari Selangor untuk isu Talam kepada pemberita hari ini.

“Datuk Chua Tee Yong (gambar) tidak mahu berdebat dengan mana-mana wakil yang dilantik oleh Selangor,” katanya.

Tiga lagi wakil yang dilantik — Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS, William Leong dari PKR dan setiausaha politik kepada MB Selangor, Faekah Husin yang turut hadir dalam debat yang dianjurkan oleh MCA itu.

Keempat-empat wakil Selangor tiba dengan sorakan dan tepukan daripada separuh hadirin yang hadir.

Mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan Dewan Belia Antarabangsa selepas MCA bertegas debat hanya diantara Chua dan MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Mereka meninggalkan dewan dengan cemuhan daripada penyokong MCA dikalangan hadirin.
Sedikit kekecohan timbul di luar dewan dengan pekikan dan tolak menolak dari penyokong MCA dan Pakatan Rakyat (PR).

“Apa hak dia (Chua) untuk minta MB berdebat dengan dia?” tanya Pua, dengan mengatakan Chua tidak berhak untuk membuat tuntutan tersebut.

“Semua di antara kami sudah bersedia untuk berdebat dengan Datuk Chua Tee Yong termasuk selepas ini,” tambah Pua.

“Fakta sebenar, beliau sebenarnya melarikan diri dari kebenaran. Dia takut untuk berdebat dengan kami,” katanya.

Pua, Dzulkefly dan Leong sebelum ini mencabar Chua untuk menghadiri forum mengenai isu Talam di Labis, Johor Ahad ini.

Minggu lepas, Khalid mengatakan bahawa firma audit KPMG telah membersihkan kerajaan Selangor daripada sebarang penyelewengan dalam pemulihan hutang RM392 juta yang melibatkan syarikat yang dahulunya dikenali sebagai Talam Corporation dan mengisytiharkan ia sebagai “keputusan komersial yang kukuh”.

Pua juga sebelum telah ini berkata bahawa “setiap sen telah dikumpulkan kembali dari Talam”, merujuk kepada hutang RM392 juta yang terhutang dari subsidiari negeri Selangor.

MCA mendakwa bahawa urusan kerajaan negeri dengan Talam — kini dikenali sebagai Trinity Corporation — adalah berat sebelah dan telah merugikan wang pembayar cukai sehingga RM1 bilion.

Tiada ulasan: