Selasa, 18 September 2012

Survival: Najib cuba takutkan orang Melayu

Anis Nazri,
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan menimbulkan ketakutan di kalangan orang Melayu.

Kenyataan Najib itu juga didakwa sebagai cubaan secara halus untuk menanamkan sifat kebencian orang Melayu terhadap orang bukan Melayu.

"Najib bimbang dengan kebangkitan rakyat, atas sebab itu cuba menggambarkan kepada orang Melayu, survival politik melayu akan hilang jika tidak memilih Umno dalam pilihan raya umum akan datang," kata beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, pagi tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib yang mengatakan survival politik Melayu Islam akan hilang jika memilih BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Najib dikatakan berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat Umno Pekan, 15 September lalu.

Tambah Mahfuz, kebimbangan Najib itu menyebabkan presiden Umno itu mengambil pendekatan tersebut, sedangkan apa yang dibimbangi beliau sebenarnya ialah kehilangan kuasa Umno itu sendiri.

Justeru, Mahfuz mengingtkan rakyat agar melihat persoalan ini dengan serius bagi membuat perubahan pada pilihan raya umum akan datang.

Lebih-lebih lagi, katanya ungkapan Najib itu tidak wajar dikeluarkan ketika seluruh rakyat Malaysia berada di ambang sambutan Hari Malaysia.

Beliau juga meminta Najib menghentikan politik kuno tersebut, yang tidak memberikan keuntungan kepada sesiapa, melainkan kepada BN itu sendiri.

Tiada ulasan: