Khamis, 20 September 2012

Soi Lek takutkan pengundi Cina bangkit isu hudud, kata Kit Siang

 
 KUALA LUMPUR— Penasihat DAP Lim Kit Siang menyelar Datuk Seri Dr Chua Soi Lek (gambar) kerana sengaja menimbulkan ketakutan kepada pengundi Cina apabila sengaja membangkitkan isu hudud akan dilaksanakan Pakatan Rakyat (PR) sekiranya mereka menawan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.

 Presiden MCA itu jelas Lim sejak beberapa bulan kebelakangan ini sangat jelas memainkan sentimen tidak bertanggung jawab dan memecah belahkan dengan menakut-nakutkan pengundi Cina melalui isu yang dipercayai muslihat paling berkesan oleh strategis MCA – isu negara Islam dan perlaksanaan hudud – supaya mereka mengundi MCA.

“Pendirian DAP tentang Malaysia sebagai negara sekular sentiasa tetap dan konsisten.

“Kami berpegang teguh kepada prinsip asas bahawa negara Islam dan hukum hudud tidak sesuai dan tidak cocok untuk Malaysia yang masyarakatnya majmuk,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Ipoh Timur itu lagi kepimpinan PR juga telah berulang kali menekankan bahawa perlaksanaan hudud bukan sebahagian daripada Kerangka Dasar Bersama PR.

“Ini bermakna jika PR memenangi pilihan raya ke-13 dan membentuk kerajaan persekutuan di Putrajaya, untuk lima tahun berikutnya dari 2012/2013 hingga 2017/8, perlaksanaan hudud tidak akan menjadi program atau dasar kerajaan persekutuan PR melainkan ketiga-tiga parti komponen boleh mencapai kesepakatan tentangnya.

“Pendirian ini amat jelas, mudah dan tidak berbelit-belit tetapi Presiden MCA dengan politik terdesak, menakut-nakutkan dan tidak bertanggung jawab cuba untuk mewujudkan huru-hara dan ketakutan bagi meraih undi daripada pengundi Cina supaya mengundi MCA pada pilihan raya ke-13,” kata Lim merujuk kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) tersebut.

Chua, jelas Lim sering mengatakan dengan jumlah ahli Parlimen yang majoritinya beragama Islam, PAS dengan mudah akan meminda Perlembagaan untuk melaksanakan hudud dan negara Islam jika PR memerintah.

 Jelas Lim, selepas PRU 2008, di semenanjung Malaysia terdapat 107 ahli Parlimen Muslim, dengan 65 ahli Parlimen daripada BN dan 42 ahli Parlimen daripada PR.

“Jumlah itu masih jauh daripada majoriti 148 ahli Parlimen yang diperlukan untuk meminda Perlembagaan.

“Sekalipun selepas dimasukkan Sabah dan Sarawak. - yang dikira berasingan, kedudukan Malaysia sebagai negara sekular digariskan dengan terperinci dalam Perjanjian 20 Perkara Sabah dan Perjanjian 18 Perkara Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 1963, jumlah keseluruhan ahli Parlimen Muslim masih tidak mencapai majoriti dua pertiga,” katanya lagi.

“Termasuk Sabah dan Sarawak, 130 ahli Parlimen Muslim daripada 222 ahli Parlimen yang menang PRU 2008 atau 59 peratus, masih kurang 18 ahli Parlimen untuk membentuk dua pertiga – dengan 88 Ahli Parlimen Muslim daripada BN dan 42 ahli Parlimen Muslim daripada PR,” tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Lim menegaskan, tindakan Chua itu adalah satu “penipuan” dan “merepek”.

“Ia menunjukkan dalam politik terdesak, Chua Soi Lek telah mengenepikan fakta, bilangan dan kebenaran,” tegasnya.

Tambah pemimpin veteran DAP ini lagi, PR tidak menyembunyikan prinsip asas dan kepercayaan mereka, baik daripada PAS ataupun mana-mana parti politik atau daripada rakyat Malaysia sendiri.

“Kami tahu pendirian PAS tentang negara Islam dan hukum hudud seperti mana PAS tahu perbezaan pendirian kami dalam kedua isu itu.

“Walaupun DAP, PAS dan PKR mempunyai perbezaan, kepimpinan Pakatan Rakyat juga telah berulang kali menegaskan prinsip iaitu mesti terdapatnya kesepakatan di antara tiga parti komponen PR sebelum boleh dilakukan sebarang perubahan pada dasar PR yang telah dipersetujui,” katanya lagi.

Tiada ulasan: