Kerajaan Selangor memberikan tempoh masa 14 hari kepada kerajaan persekutuan untuk memberi maklum balas kepada cadangan penstrukturan air di negeri itu.

Kegagalan berbuat demikian, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, akan menyebabkan Selangor meneruskan penstrukturan air di negeri itu walaupun tanpa sokongan dan penyertaan kerajaan persekutuan.

Menurutnya, Selangor telah mengutus surat kepada menteri tenaga, teknologi hijau dan air bertarikh 18 September menyatakan kekecewaan terhadap kurangnya sokongan pihak persekutuan dalam cadangan penstrukturan air.

NONE"Saya memaklumkan sekiranya YB menteri dan kementeriannya tidak memberi maklum balas bertentangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat, saya menganggap kementerian tiada bantahan untuk saya teruskan penstrukturan ini," katanya pada sidang media petang tadi.

Menurutnya lagi, kerajaan Selangor akan membuat pengumuman berkenaan bidaan untuk mengambil alih syarikat konsesi air Selangor pada 28 atau 29 September jika kerajaan persekutuan masih senyap dalam isu berkenaan.

Khalid sebelum ini mengumumkan penstrukturan semula air di Selangor akan melibatkan pengurangan kos pentadbiran Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) di samping mengurangkan air tidak berhasil (NRW).

Tambahnya, hutang SYABAS juga akan dibatalkan menerusi penyusunan semula aset berdasarkan Akta Perkhidmatan Industri Air.

Tak gugar dianggap sabotaj Langat 2

Mengulas cadangan pembinaan loji rawatan air Langat 2 yang dicadangkan Persekutuan, Khalid berpendirian cadangan itu boleh diterima kerajaan negeri jika ia sebahagian usaha penstrukturan semula air dan tidak menyebabkan kenaikan tarif air.

"Kita sudah buat kenyataan jelas, walaupun Langat 2 sudah terlajak kita boleh terima Langat 2 sebagai satu usaha penstrukturan semula air.

"Jadi ia dimasukkan dalam program penyusunan semula air sebab kerajaan negeri nak mengambil kira supaya kos-kos itu tidak membebankan rakyat Selangor dari segi tarif," katanya.

Beliau juga tidak gusar tanggapan kerajaan negeri dilihat cuba mensabotaj rakyat Selangor dalam isu air ini.

"Kita pertahankan rakyat sebab itulah kita buat penyusunan semula kerana rakyat Selangor tidak mendapat manfaat daripada penswastaan ini," katanya.