Oleh Aisya Geoffrey
KUALA LUMPUR: Golongan yang menolak kebenaran dan menyerang individu di masjid ketika majlis ilmu sedang berlangsung tidak ubah sifatnya seperti Abu Jahal dan Abu Lahab, kata Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
“Sudah menjadi lumrah, apabila ada orang bercakap soal kebenaran pasti akan ada orang yang tidak suka, seperti zaman Rasulullah dahulu, orang Arab Quraisy menentang kerana baginda menyampaikan kebenaran,” kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu ketika dihubungi.
“Malah, bapa saudaranya sendiri menentang kebenaran. Baginda ditentang sehingga ke tahap diletakkan bangkai di atas badannya ketika sedang solat di masjid,” jelasnya.
Beliau mengulas insiden sekumpulan ahli Perkasa yang bertindak ganas menyerang Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan tazkirah Maghrib di Masjid Al-Husain di Seberang Pumpong, Alor Star, Kedah, semalam.
“Bukan saya menyamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Rasulullah, tapi lihat dari segi bagaimana kebenaran yang cuba disampaikan beliau begitu ditentang, hingga ada orang yang berasa tidak senang dan cuba menghalang dengan pelbagai cara,” kata Johari lagi.
Keadilan Daily melaporkan, samseng tersebut bertindak memadamkan lampu masjid dan alat pembesar suara berulangkali, di samping mengeluarkan kata-kata kesat serta membaling kasut ke dalam masjid ketika tazkirah disampaikan.
Kejadian serangan itu adalah insiden kedua selepas bas jelajah Merdeka Rakyat dibaling batu dan disimbah cat merah di Kelantan sehari sebelumnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan